Segelintir berasakan sukan bola jaring adalah lebih sesuai dimainkan oleh para wanita, mungkin disebabkan kelihatan macam senang dengan gerakan kaki, balingan bola ataupun peraturan yang telah pun ditetapkan.

Tapi yang berfikiran begitu, anda silap ya!

Baru baru ni, saya dijemput untuk mewakili pasukan Gegar Pantai Timur dalam perlawanan persahabatan bola jaring campuran berdepan pasukan Siti Nor Diana FC, penyanyi terkenal dengan lagu ‘Paling Comel’.

Bukan biasa biasa, pemain dari pasukan lawan pun terdiri daripada pemain berbakat yang mewakili negeri.

Selaku hos Netball Super League, saya memang ikut rapat perkembangan pemain-pemain bola jaring Malaysia. Dalam aksi persahabatan kali ini, siapa sangka saya diberi peluang untuk beraksi dalam satu gelanggang bersama duo tersohor Johor Jewels, Fariha Razak dan Ann Najwa Azizan.

Format permainan berlainan, 10 minit suku pertama, rehat yang diberikan pula 5 minit sebelum bersambung suku seterusnya. Saya diberi kepercayaan untuk bermain penuh dalam dua suku — memang minta nyawa!

Mad respect kepada pemain bola jaring yang kita lihat dari luar gelanggang sangat effortless, tapi kepenatan yang dialami siapa yang tahu.

Ada juga rakan lelaki yang pernah berkongsi bahawa sukan yang dilabel sebagai ‘fast game’ ini lebih sukar dari sukan tertentu.

Lihat saja gelagat penyampai lelaki radio stesen Gegar yang mengelak daripada bermain dah boleh agak betapa meletihkan sukan ini.

Apapun, ia adalah pengalaman terbaik untuk beraksi bersama wakil negara dengan kesedaran bahawa Malaysia memiliki pelapis — bakat muda yang mendekati sukan bola jaring!