Patah hati peminat Scotland setelah tersingkir, namun pemusnah harapan mereka adalah seorang pemain yang cukup layak dikagumi.

Tidak kira bagaimana kecewa pun mereka, keindahan gol yang dijaringkan oleh Luka Modric tidak sesekali harus dinafikan.

Gol yang dijaringkan menggunakan bahagian luar kaki kanannya bukan sahaja layak dinobatkan sebagai gol terbaik pertandingan setakat ini.

Malah, tidak keterlaluan untuk ia digolongkan sebagai antara gol terbaik yang pernah dijaringkan dalam sejarah Kejohanan Eropah.

Sewaktu bola dilorongkan ke arahnya, Modric tidak memilih untuk merembat sekuat hati, sebaliknya dia memerhatikan kedudukan penjaga gol dengan cukup tenang dalam tempoh sepintas waktu sahaja, sebelum melepaskan tendangan cukup teknikal ke arah sudut atas kiri pintu gol.




Persembahan mantap Modric dalam perlawanan yang dimenangi Croatia 3-1 di Hampden Park itu ternyata menyangkal segala tanggapan dan kritikan bahawa dia tidak lagi setajam dahulu setelah usianya mencecah 35 tahun.

Sebelum perlawanan menentang Croatia, Scotland seharusnya sudah tahu dari awal lagi yang Modric adalah antara pemain paling berbahaya dan harus dikekang, namun pengetahuan semata-mata tidak mencukupi.
Modric sudah mencatatkan pelbagai rekod yang membanggakan sepanjang kerjayanya.

Dia memainkan peranan penting dalam mengemudi Croatia ke peringkat akhir Piala Dunia 2018, dia juga merupakan pemain yang paling banyak beraksi untuk pasukan kebangsaan dengan catatan 141 penampilan setakat ini.





Tatkala rakan-rakan senegara yang lebih muda seperti Mario Mandzukic dan Ivan Rakitic memilih untuk bersara dari kancah kebangsaan setelah mengecapi pencapaian membanggakan dalam Piala Dunia yang lalu, Modric memilih untuk terus kekal beraksi selagi kudratnya masih boleh ditaburkan.

Sama ada bersama Croatia ataupun Real Madrid, kebijaksanaan Modric mengemudi barisan tengah pasukannya seringkali menjadi punca kemenangan berjaya dikecapi.

Menurut laman sesawang BBC, dalam perlawanan menentang Scotland, Modric melakukan sebanyak 115 sentuhan bola serta 98 hantaran.

Hampir 70 peratus daripada hantaran tersebut berlaku di kawasan pasukan Scotland -- jumlah hantaran ini juga jauh mengatasi kesemua pemain yang berada di atas padang.

Temu bual Andy Robertson bersama pihak media pada penghujung perlawanan merupakan rumusan terbaik untuk Modric secara keseluruhannya:

"Modric menguasai seluruh perlawanan dan menjaringkan satu gol yang menakjubkan, sebab itulah kami tewas."