Selepas lebih sebulan bercuti, anak-anak akan kembali ke sekolah.

Ada yang memulakan persekolahan dalam kelas baru ( naik kelas ) dan ada yang akan melalui peralihan dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Begitu juga anak-anak kecil yang akan memasuki fasa baru, dari pra-sekolah ke peringkat sekolah rendah. Sifat kanak-kanak majoritinya aktif malah ada yang `hyper` aktif. Naluri semula jadi ini sangat membantu dalam membentuk anak-anak ini sebagai seorang atlit.

Lihat sahaja bagaimana terujanya murid-murid di sekolah rendah apabila tibanya subjek pendidikan jasmani. Bagi murid lelaki, sukan bolasepak menjadi kegilaan. Hampir penuh padang bolasepak sehinggakan terpaksa membahagikan mereka kepada beberapa pasukan.

Murid perempuan pula lebih cenderung dengan aktiviti sukan bolajaring ataupun badminton. Riuh rendah mereka membangkitkan suasana persekitaran yang kondusif dalam sukan. Murid lelaki yang beraksi dalam `team` bolasepak paling dominan di padang. Bagi pasukan yang kalah, mereka selalunya tidak sabar untuk turun semula pada sesi minggu berikutnya.

Ketika inilah pihak sekolah harus bijak memainkan peranan sebagai pencetus atlit masa depan. Gunakan sebaiknya peluang yang ada dengan merangka strategi lebih khusus dalam mencungkil dan memupuk bakat mereka. Para guru pendidikan jasmani harus bersedia dengan anjakan paradigma. Sementara pihak sekolah harus berganding bahu dengan pihak Jabatan Pendidikan untuk mempersiapkan individu berkelayakan dalam membimbing anak-anak berbakat untuk dicipta menjadi atlit.

Selamat kembali ke sekolah anak - anak semua. Ingat sekolah bukan sahaja gedung ilmu yang melahirkan bijak pandai dan ilmuan, tetapi juga ia harus menjadi lubuk untuk mencipta diri menjadi atlet.