“Tidak boleh dimaafkan!” jerit bekas jurulatih profesional, Fabio Capello, sewaktu melihat kesilapan yang dilakukan Cristiano Ronaldo.

Juventus tersingkir sekali lagi dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah dan kali ini kambing hitam yang dijadikan sasaran tidak lain dan tidak bukan, Ronaldo sendiri.

Ronaldo serta rakan sepasukan, Adrien Rabiot, membentuk benteng untuk menghalang sepakan percuma pada minit ke-115, namun kedua-duanya diperdayakan dengan sepakan trajektori rendah daripada Sergio Oliveira yang membawa kepada gol kemenangan buat Porto.





Kesilapan Ronaldo dalam hal ini adalah tindakannya yang terlalu awal membelakangkan bola serta isyarat tubuhnya menunjukkan yang dia agak waspada dengan kekuatan sepakan daripada Oliveira itu.

Semestinya tindakannya dikritik pedas oleh ramai pihak.

Laman sesawang goal.com memetik Capello sebagai berkata: “Pemain yang bertugas untuk membentuk benteng seharusnya tahu dari awal lagi yang mereka berkemungkinan besar akan dihentam oleh bola dan mereka tidak boleh berasa takut.

“Tapi, Ronaldo pula boleh memalingkan badan sewenang-wenangnya, ini satu kesilapan besar yang tidak boleh dimaafkan.”





Bekas penyerang Juventus, Nicola Amoruso, mengkritik Ronaldo dengan penuh sinis.

“Kalau saya jadi jurulatih Juventus, saya tak akan sesekali tempatkan Ronaldo di benteng, Ronaldo takut jika bola dihentam ke mukanya, jadi terlalu risaukan muka dia.”


Nasib Ronaldo serta pengurus Juventus, Andrea Pirlo, kini nampaknya terumbang-ambing.

Tujuan utama Ronaldo dibeli dari Real Madrid dengan harga sekitar £105 juta (RM515 juta) adalah demi membolehkan Juventus meraih trofi yang sekian lama mereka kempunan, Piala Liga Juara-Juara Eropah.





Selepas tiga musim, jangankan menjadi juara, hendak sampai ke peringkat separuh akhir pun gagal Juventus kecapi.

Menurut akhbar The Guardian, akibat pandemik COVID-19 tahun lalu, jumlah anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung Juventus adalah sebanyak £68 juta (RM333 juta) manakala gaji tahunan Ronaldo adalah setinggi £31 juta (RM152 juta) setahun.

Biarpun dia akan selamanya menjadi legenda dunia bola sepak, hakikatnya ketika ini adalah Ronaldo bakal mencecah usia 36 tahun.

Berbaloikah segala perbelanjaan ini demi piala yang diidam-idamkan?

Itu satu persoalan penting buat Juventus dalam jangka masa terdekat ini.