Genap 10 hari lalu, diumumkan bahawa salah seorang pemain paling terkenal dunia, Cristiano Ronaldo, tidak lagi bercadang untuk kekal bersama pasukan yang membentuknya mengecapi status yang dimiliki sekarang.

Ia satu berita yang tidaklah mengejutkan jika difikirkan secara logik, malah seharusnya dijangka, tetapi di mata penyokong setia Manchester United, ia tetap satu tamparan hebat dan diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Setelah menunggu selama lebih seminggu untuk perkembangan lanjut, kepastian mutlak masih tidak dapat ditentukan, tetapi tanda-tanda yang kelihatan ternyata tidak positif buat mereka yang mengharapkan agar Ronaldo mengubah fikirannya.

Berita tentang hajat Ronaldo untuk berpindah disusuli dengan ketidakhadiran berturut-turutnya dalam sesi latihan pra-musim, kemudian pula diumumkan yang dia tidak akan menyertai sesi jelajah bersama pasukan ke Thailand dan Australia.

Seharusnya petanda sudah nyata, masa untuk melepaskan wira yang mereka dendangkan telah tiba akhirnya.

Namun, nampaknya United masih keberatan untuk berbuat demikian.

Menurut laporan Daily Mail, dalam sesi temu bual bersama pengurus baru United, Erik ten Hag di Thailand, beliau menegaskan bahawa Ronaldo tidak akan dijual dan pemain itu masih bakal terlibat dalam rancangannya untuk menghidupkan semula skuad The Red Devils pada musim baru.

"Benar, Ronaldo tidak bersama kami ketika ini dan saya juga belum pasti sama ada dia akan dapat menyertai kami berkunjung ke Australia nanti, tetapi ketiadaannya berpunca daripada hal peribadi," jelas ten Hag.

Kebenaran atau sandiwara semata-mata?

Berbaloikah dipertahankan seorang pemain yang sudah membulatkan tekad untuk meletakkan kepentingan peribadi berbanding kepentingan pasukan?

Serta-merta terkenang akan kata-kata pengurus legenda United, Alex Ferguson, dalam buku autobiografi beliau: "Sebaik sahaja seorang pemain beranggapan bahawa dirinya lebih penting daripada pasukan, dia harus disingkirkan.

"Apabila seorang pengurus kehilangan kuasa, pasukan akan dikawal oleh pemain, dan pengurus itu akan menghadapi masalah besar."

Harus kata-kata tersebut kekal terpahat dalam minda ten Hag jika benar matlamatnya untuk menghidupkan semula United ingin dikecapi.

Benar, Ronaldo merupakan penjaring terbanyak United musim 2021/22.

Benar juga, Ronaldo menghadirkan kemenangan pada saat-saat getir sewaktu menentang Norwich, Atalanta dan Tottenham.

Namun, persoalannya di sini, berbaloikah memori detik-detik manis sebegitu, seangkatan dengan memori manis sewaktu zaman kegemilangan Ronaldo bersama United sebelum berhijrah ke Real Madrid, dikekalkan jika ia tidak mendatangkan kebaikan buat jangka masa panjang?

Kehadiran Ronaldo memaksa United untuk menjadikannya sebagai paksi utama, menyebabkan pasukan dibina di sekeliling dirinya, bukan sebaliknya.

Pelbagai sumber pernah mengatakan yang Ronaldo bukan sahaja menyebabkan perpecahan dalam kalangan pemain, malah dia turut pernah menghentikan sesi latihan yang dianggapnya membosankan.

Tidak hairanlah yang pengurus terdahulu, Ralf Rangnick, mengendalikan pasukan, dia mengakui bahawa masalah paling besar dihadapinya adalah Ronaldo tidak seharusnya disenaraikan dalam kesebelasan utama, tetapi dia juga tidak boleh disingkirkan.

Sedar ataupun tidak, nasib dan pertaruhan United untuk kembali ke persada bermula daripada detik sebegini.

Penyingkiran pemain yang paling mereka sayangi pasti menyakitkan tetapi hakikatnya ia adalah kesakitan yang harus ditelan demi kebaikan bersama.

Sanggup ataupun tidak, United?