Kehadiran pengurus baru lazimnya jarang sekali membawa keputusan positif serta-merta, sebaliknya seringkali penderitaan harus dihadapi terlebih dahulu sebelum kenikmatan tiba.

Buat Chelsea, pemecatan pengurus yang menghadiahkan mereka piala Liga Juara-Juara UEFA (UCL) sebelum ini, Thomas Tuchel, digantikan oleh Graham Potter yang cemerlang di kelab Brighton sebelum ini.

Setelah melalui satu tempoh yang agak positif buat seketika, Chelsea kini terpaksa menghadapi rentetan kurang memberangsangkan, dengan hanya dua kemenangan dicatatkan dalam sembilan perlawanan yang lepas, merentasi kesemua pertandingan.



Terbaru, mereka tersingkir daripada saingan Piala FA setelah dibelasah 4-0 oleh Manchester City dalam aksi yang cukup berat sebelah semalam.

Begitu hebatnya tamparan yang Chelsea hadapi sehinggakan penyokong-penyokong mula mendendangkan lagu tentang Tuchel serta bekas pemilik kelab, Roman Abramovich -- menandakan mereka rindu terhadap detik-detik manis ketika kedua-dua tokoh itu masih bertanggungjawab mengendalikan kelab.

Menurut laporan The Daily Mail, penyokong-penyokong Chelsea serta beberapa bekas pemain ternama, antaranya Alan Shearer dan Frank Leboeuf, sebulat suara menghentam Potter atas kelonglaian persembahan Chelsea dan mempersalahkan pengurus itu atas segala yang berlaku.

Bagi Shearer, biarpun Chelsea terpaksa beraksi tanpa kehadiran pemain-pemain penting seperti Raheem Sterling, N'Golo Kante dan Reece James, mereka memiliki pemain-pemain gantian yang seharusnya mampu untuk mendatangkan saingan.

Namun, apa yang ditunjukkan adalah cukup memalukan sekali.

Leboeuf pula dengan lantang menuding jari terhadap Kai Havertz yang menghadiahkan sepakan penalti buat City dengan aksi ala 'Hand of God' Maradona ketika cuba mempertahankan sepakan sudut, serta terhadap Jorginho yang bagi dirinya tidak layak untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Bagi Potter sendiri pula, dia bersimpati dengan kemarahan penyokong serta mengakui bahawa skuad mereka sedang bergelut untuk mencatatkan kemenangan ketika ini.



Namun dalam keadaan sebegini, tiada apa lagi yang mampu mereka lakukan selain daripada terus kekal bersatu dan tidak mempersalahkan satu sama lain.

Menyebut tentang simpati, pengurus City, Pep Guardiola, meluahkan perasaan itu dalam temu bual pasca perlawanan semalam dan menyeru kepada pemilik baru Chelsea, Todd Boehly, agar memberikan lebih banyak masa kepada Potter untuk memperbaiki keadaan.

Menurut Guardiola, mana-mana pengurus pun memerlukan waktu yang berpatutan, malah dirinya sendiri tidak terkecuali.

Guardiola memetik satu contoh pengecualian ketika waktu dia mengendalikan Barcelona, di mana dia berjaya mencipta keputusan positif serta-merta gara-gara wujudnya Lionel Messi dan jika tidak adanya pemain itu, dia juga pasti akan bergelut.

Begitulah hakikatnya yang sudah lama diketahui dalam era bola sepak terkini -- satu dilema yang tidak ada kesudahan.

Pengurus memerlukan masa tetapi kesabaran penyokong dan juga pihak lembaga kelab seringkali tidak mengizinkan.

Jika Potter gagal menunjukkan pembaharuan dalam tempoh beberapa minggu yang akan datang, simpati ataupun tidak, pemecatan merupakan kemungkinan paling besar buat dirinya.