Dahulunya seorang bintang muda berbakat yang lahir, membesar dan menyinar di bandar Manchester, kini Marcus Rashford hanyalah seorang pemain yang hilang arah.

Di luar padang, dia terkenal dengan sikapnya yang pemurah dan penyayang.

Menurut laporan akhbar The Guardian, Rashford telah menderma lebih £20 juta (RM110 juta) kepada badan-badan kebajikan demi memastikan anak-anak muda di England tidak menjadi mangsa kebuluran.

Malang sekali, pada ketika ini tiada sesiapa yang boleh membantu Rashford untuk kembali ke prestasinya sebelum ini.

Dalam dua musim sebelumnya, Rashford melakukan 101 penampilan bersama Manchester United dan menjaringkan 43 gol dalam kesemua pertandingan.

Musim ini, di sebalik kemelut pengurus dan krisis yang melanda pasukan, Rashford cuma melakukan 26 penampilan dan mampu menjaringkan lima gol sahaja.

Setelah tersingkirnya United daripada Liga Juara-Juara UEFA (UCL) beberapa hari lalu, Rashford dirakam hilang kesabaran apabila dicerca peminat di luar stadium dan dituduh menunjukkan isyarat lucah terhadap mereka -- satu kenyataan yang kemudian dinafikan sekeras-kerasnya.

"Sejak beberapa minggu lalu, saya tidak henti-henti diganggu, diugut dan dipersoalkan.

"Saya cuma manusia biasa dan saya tewas kepada emosi saya," tulis Rashford dalam satu kenyataan di media sosial.





Semalam, pengurus pasukan kebangsaan England, Gareth Southgate, pula mengumumkan Rashford tidak tersenarai dalam barisan pemain England yang bakal berhadapan dengan Switzerland dan Ivory Coast dalam perlawanan persahabatan.
"Ini merupakan satu tempoh yang sukar untuk Rashford dan dia tidak berada dalam prestasi terbaik.

"Saya akan berbicara dengannya dan cuba untuk mengerti apa yang berlegar di dalam fikirannya," ujar Southgate kepada akhbar The Daily Mail.

Southgate bagaimanapun memaklumkan bahawa pengguguran ini hanyalah sementara dan Rashford masih tetap dalam perancangannya untuk acara Piala Dunia yang bakal tiba tidak lama lagi.

Mesikpun Rashford diberikan jaminan sebegitu, adakah Southgate mampu untuk terus memegang janji seandainya prestasi pemain itu terus jatuh merudum dalam saki-baki musim ini?

Di bawah kepimpinan Ole Gunnar Solskjaer dan Jose Mourinho sebelum ini, Rashford hampir pasti mendapat tempat dalam kesebelasan utama United, tidak kiralah di posisi sayap atau sebagai penyerang tengah.

Namun, di bawah kelolaan Ralf Rangnick, Rashford nampaknya diletakkan dalam turutan yang lebih rendah berbanding Jesse Lingard, seorang pemain yang diketahui ramai sudah tidak sabar lagi untuk meninggalkan kelab.

Posisi pemain sayap United kini nampaknya dipegang erat oleh Jadon Sancho dan bakat muda baru, Anthony Elanga, manakala posisi penyerang tengah semestinya dikuasai oleh Cristiano Ronaldo.

Peluang untuk Rashford disenaraikan dalam kesebelasan utama cukup tipis.

Apabila Rashford diberikan peluang untuk turun ke padang, dia kelihatan sama sekali tidak berkeyakinan dan sememangnya tidak setajam dahulu.




Hakikat ini paling jelas kelihatan sewaktu dia melepaskan peluang keemasan untuk melakukan serangan susulan bagi menjaringkan gol ketika menentang Aston Villa pada bulan Januari lalu -- satu peluang yang tidak mungkin dilepaskannya pada musim-musim yang sudah.

Desas-desus kini kencang mengatakan Rashford sedang diintai rapat oleh kelab-kelab gergasi lain seperti PSG dan Barcelona, tidak kurang juga yang mencadangkan bahawa meninggalkan Manchester merupakan satu langkah yang tepat untuk menghembuskan nafas baru dan memulihkan semula semangatnya yang hilang.

Tidak lupa juga, kemungkinan Mauricio Pochettino mengambil alih kerusi pengurus United pada musim depan dikatakan adalah sesuatu yang positif kerana ramai mengetahui bahawa Pochettino merupakan pengurus yang pandai membentuk hubungan akrab dengan pemainnya dan turut dilaporkan pernah cuba untuk membawa Rashford ke Tottenham sewaktu dia masih mengendalikan kelab itu.

Mungkin sahaja selepas Rashford mendapat rehat secukupnya, mungkin juga apabila United memulakan semula perjuangan mereka musim depan, dia akan kembali seperti dahulu -- seorang bakat muda yang berbahaya di atas padang dan tidak lekang dengan senyuman.

Tetapi hakikatnya ketika ini, Rashford sedang berada dalam kemelutnya yang tersendiri dan haruslah segera bangkit.