Segar daripada aksi sukan musim panas yang gemilang, Itali akan terus bertemasya kali ini dengan musim baru Serie A.

Sepak mula 22 Ogos menandakan ia bermula satu minggu lebih lewat berbanding liga utama Eropah yang lain. Seperti biasa, setiap permulaan musim baru membawa harapan kepada semua setiap kelab dan penyokong tentunya.

Dan juga sebagai penyokong, awal musim ialah masa untuk kita previu semua pasukan bertanding; siapa yang bagus? Skuad mana yang seimbang? Pemain mana yang bakal bawa pulang kasut emas? Dan ratusan soalan lain yang jawapannya hanya dapat dibuktikan di akhir musim.

Terlanjur meramal, tak salah untuk kita lihat simpulkan kemungkinan di akhir musim. Ramalan ini dibahagikan kepada lima bahagian: Kedudukan empat pasukan teratas, tiga pasukan terbawah, penjaring terbanyak, pemain tumpuan dan bintang muda tumpuan.

Andiamo!

Top 4

Inter, Juventus, Milan, Roma

Seperti dua musim yang lepas, perang untuk ditabal sebagai Raja Bolasepak Itali dijangka berpanjangan ke penghujung musim. Inter kehilangan Lukaku dan Hakimi tapi cepat dalam proses penggantian pemain dan jurulatih. Juventus hilang Ronaldo, hilang 20 gol di hari-hari terakhir sebelum bursa perpindahan ditutup. Saya jangka perseteruan Inzaghi vs. Allegri akan bermula musim ini dan akan bertahan selama dua atau tiga tahun kedepan tapi untuk musim ini Inter dilihat lebih ampuh dari sudut skuad.

Milan akan terus menekan dan dijangka layak ke empat teratas untuk dua musim berturut-turut. Kalau benar terjadi, ia adalah tempoh dua tahun paling ‘berjaya’ dalam dekad yang lalu untuk Rossoneri. Roma akan menempuh satu musim bersama Mourinho yang klasik; pergaduhan pemain dalam perlawanan, gol minit akhir di hadapan ultras mereka serta sidang media yang sentiasa panas. Mereka dijangka merebut tempat keempat dari tangan Atalanta dan Napoli yang sudah tentu akan mengasak sepanjang musim.

Zon Penyingkiran

Spezia, Venezia, Salernitana

Spezia bertarung dengan keras musim lalu untuk memastikan survival Serie A mereka. Namun aktiviti rekrut pemain di musim panas mereka amat kurang meyakinkan sekaligus menyebabkan skuad yang mereka ada kurang seimbang. Venezia yang layak menerusi play-off Serie B juga dilihat tidak mempunyai wibawa yang cukup kuat untuk menempuh jalan keras di liga teratas Itali itu.

Salernitana yang layak ke Serie A buat pertama kali sejak 23 tahun juga mungkin tidak berada pada tahap yang dituntut untuk kekal. Melihat kepada kekalahan 0-4 mereka kepada Roma di perlawanan kedua, hanya keajaiban yang boleh menyelamatkan mereka dari kembali ke kasta kedua.

Kasut Emas

Ciro Immobile

Secara peribadi, saya menjangkakan pemenang kasut emas musim ini tidak akan mempunyai saingan yang sengit. Lukaku dan Ronaldo; dua nama yang hampir mustahil dikalahkan sudah tiada dan Immobile dilihat berada pada tahap terbaik untuk menang.

Edin Dzeko yang bakal mendapat ‘servis’ Barella dan Calhanoglu di Inter ialah antara pencabar, di samping Luis Muriel dan Dusan Vlahovic yang konsisten menerjah jaring bersama Atalanta dan Fiorentina. Jangan lupa, bolasepak Itali juga mengalu-alukan kedatangan dua striker Chelsea - Tammy Abraham dan Oliver Giroud yang pastinya mendapatkan paling kurang 10-15 gol untuk Roma dan Milan.

Pemain Tumpuan

Hakan Calhanoglu

Tanya 10 penyokong Milan sama ada mereka suka Calhanoglu ketika bersama Rossoneri atau tidak; tiga akan jawab ya, tiga jawab tidak dan tiga lagi akan jawab tak pasti. Empat musim di sana, beliau mempunyai dua musim pertama yang jujur saja mengecewakan dan dua musim terakhir yang menakjubkan. Tapi oleh kerana prestasi awal yang buruk itu, banyak penyokong yang menghukumnya dan lebih parah, tidak memberi kredit atas sumbangan beliau di dua tahun terakhir.

Bertitik-tolak dari rasa tak dihargai, beliau sanggup memilih bersama dengan ‘musuh.’ Pada saya, ini jelas sekali perpindahan yang dilaksanakan oleh seorang pemain dengan sebuah misi. Misi untuk disayangi penyokong, menampilkan permainan terbaik dengan konsisten dan membantu pasukan meraih kejuaraan.

Bayangkan Milan Derby musim ini; minit ke-89, sepakan percuma di hujung kanan kotak penalti. Calhanoglu dengan sisi dalam kaki melencongkan bola melepasi benteng dan layangan badan Mike Maignan sedikit terlambat untuk sampai ke bola yang berpusing. “Srettttt!” bunyi bola menerjah jaring, dan San Siro pun meletus bagai Gunung Vesuvius!

Pemain Muda Tumpuan

Nicolo Zaniolo

Saya mula sedar akan potensi besar Zaniolo ketika Kejohanan Euro Bawah-19, tiga tahun lalu. Zaniolo ialah bintang utama skuad Itali yang muncul naib johan dalam pertandingan yang berlangsung di Finland ketika itu. Bersama-sama Sandro Tonali, beliau menjadi tunjang utama bahagian tengah dalam skuad yang turut menampilkan bintang muda Juventus, Moise Kean.

Di mata saya, Zaniolo adalah pemain ‘salah zaman.’ Beliau mempunyai ciri seorang pemain tengah menyerang era 90an - tegap, tinggi, sedikit kasar tapi pada masa yang sama licik, boleh guna kedua-dua kaki dan rajin. Ciri-ciri tadi ialah kriteria idaman Jose Mourinho. Cuma, dalam dua musim kebelakangan beliau agak kurang bernasib baik dengan kecederaan - satu masalah yang saya anggap sudah selesai bagi pihak beliau.

Jika 10 tahun lalu di Mourinho menyerahkan peranan arkitek pasukan kepada Wesley Sneijder di Inter, kini saya jangkakan peranan yang sama diberi kepada Zaniolo. Dengan saiz potensi yang ada, beliau mungkin tiada masalah untuk meninggalkan Roma ke kelab yang lebih besar sekiranya Roma gagal untuk ke top 4 musim ini.

Rumusan

Satu lagi musim Serie A yang panjang, dengan skrip dan naratif berbeza. Tiada Ronaldo, Pirlo, Conte, Lukaku dan Hakimi bukan bermakna tarafnya jatuh. Malah dengan kedatangan Mourinho, Abraham dan Allegri di Juventus misalnya akan memastikan kualiti tanpa kompromi dari bumi el Stivale.

Jangan lupa, saksikan saya dan Keesh ‘Mat Stats’ Sundaresan di Bola itu Life yang akan menemui anda mulai Oktober ini!