Roger Federer akhirnya berjaya menamatkan badinya selama lima tahun dalam Kejohanan Wimbledon di All England Club (SW19) semalam.

Lebih manis, kemenangan itu disulami dengan kejayaan Federer muncul sebagai pemain terbanyak memenangi Wimbledon sepanjang zaman dengan lapan kejuaraan.

Muncul sebagai pemain paling tua menjuarai Wimbledon sejak Era Terbuka diperkenalkan, Federer juga menamatkan impian Marin Cilic untuk muncul juara pertama dari Croatia.

Federer sebelum ini berkongsi tujuh kejuaraan di SW19 bersama pemain Amerika Syarikat, Pete Sampras, untuk muncul sebagai pemenang paling banyak, namun perkongsian itu berakhir pada tanggal 16 Ogos 2017.

Di sebalik kejayaan itu, wujud kisah perit yang diharungi pemain berusia 35 tahun ini.



Dia dikecewakan tiga kali di pentas final selepas tumpas di tangan pemain Sepanyol, Rafael Nadal, pada tahun 2008.

Pemain Serbia, Novak Djokovic, menjadi penghalang seterusnya buat Federer dalam saingan akhir tiga tahun lalu sebelum sekali lagi menafikan impian Federer pada tahun 2015.

Namun, kemenangan ke atas Cilic meletakkan Federer naik dua anak tangga di kedudukan ketiga dalam carta perseorangan tenis dunia.

Rekod 19 kejuaraan serta 29 penampilan di pentas akhir grand slam juga mengukuhkan statusnya selaku pemain tenis paling berjaya masa kini.

Selain Wimbledon, Federer turut memegang rekod sebagai satu-satunya pemain yang menjuarai Terbuka Amerika Syarikat selama lima tahun berturut-turut
Dalam masa sama, bapa kepada tiga anak ini juga memecahkan dominasi Sampras di carta nombor satu dunia apabila memegang takhta idaman semua pemain tenis itu selama 302 minggu.

Dia memulakan tahun 2017 dengan status juara dalam kejohanan Terbuka Australia selepas menewaskan Nadal dalam final.

Hadir ke SW19 dengan misi menamatkan badi selama lima tahun, Federer kembali dengan sentuhan pemusnah apabila mengharungi kempen tanpa tewas dalam sebarang set, termasuk aksi final bertemu Cilic.



Jelas sekali, Federer telah membuktikan kepada semua peminat tenis bahawa dia layak digelar 'Raja Wimbledon' yang sebenar selepas merakamkan kejayaan hebat pada tahun ini.

Mungkin kita perlu menunggu 10 tahun lagi untuk rekod-rekod ini dipecahkan atau mungkin juga tiada siapa yang akan dapat menandingi catatan bersejarah milik FedEx ini.