Sensasi teknik siku pusing yang dilakukan atlet muda muay thai negara, Rifdean Masdor menjadikan kemuncak Muay Thai pada temasya Sukan SEA Filipina 2019 cukup istimewa dan bermakna khususnya buat warga sukan berkenaan.

Apa tidaknya, teknik serangan seperti itu akhirnya dapat dilihat di pentas Sukan SEA sekali gus menyerlahkan kualiti peserta yang bertanding walaupun kebanyakan perlawanan yang dimenangi mereka adalah menerusi keputusan mata.

Jadi, apa yang berlaku di depan mata saya semalam, cukup mengujakan kerana membabitkan kategori paling rendah iaitu 45 kilogram dan menariknya ia dilakukan oleh Rifdean selaku jaguh dalam pembikiran muay thai negara.

Menerusi teknik 'sok klab' dalam bahasa Siam, atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu menumbangkan Soulixay Singsavath dari Laos dengan TKO (Technical Knockout) pada pusingan kedua perlawanan yang sebenarnya berjaya didahului oleh lawan.

Jika Rifdean lambat mengatur gerakan 'maut' itu, perlawanan mungkin diheret ke pusingan ketiga sebagai aksi penentuan kejuaraan selepas pusingan pertama memihak anak muda berusia 17 tahun itu dengan keputusan 10-9.

Namun, Rifdean bijak dalam percaturannya untuk memastikan nilai kemenangan yang tinggi apabila mengalahkan lawan 10 tahun lebih tua pada penampilan sulung dalam temasya dwi-tahunan ini walaupun hanya memegang status juara remaja dunia.

Kejayaan bersejarah peninju yang baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia SPM itu turut disaksikan bapanya, Masdor Manan yang membuat kejutan terbang dari Malaysia ke Filipina untuk memberi sokongan kepada anaknya beraksi.

Walaupun terpaksa berbelanja RM600 untuk kos tambang teksi dari Manila ke venue Subic, pengorbanan Masdor tetap berbaloi apabila Rifdean berjaya menutup perlawanan dengan kilauan emas buat skuad muay thai negara pada temasya kali ini.

Masdor tidak lokek berkongsi mengenai perjalanan hidup Rifdean sebelum sampai ke tahap ini dan apa yang paling mencuri perhatian saya apabila bapanya itu mendedahkan, anaknya pernah bermalam di tempat latihan sebelum berjaya ketika ini.

Jelas, usaha keras Rifdean mula menuai hasil dan saya menjangkakan banyak lagi kejuaraan yang menanti peninju berbakat masa depan negara ini tatkala teknik siku pusing itu menjadikannya semakin popular hingga netizen melabelkan peninju negara itu sebagai Tony Jaa Malaysia!.