Erling Braut Haaland, nama yang sedang meniti di bibir peminat bola sepak Jerman ternyata berjaya meneruskan kecemerlangan dengan melebar rekod jaringan buat Borussia Dortmund kepada lapan gol dalam empat penampilan sejak menandatangani kontrak pada jendela perpindahan musim sejuk Januari lalu.

Tetapi nampaknya kuasa 'dejavu' lebih kuat berbanding sentuhan magis pemain berusia 19 tahun itu apabila masih gagal membantu The Black & Yellow meneruskan kemaraan ke suku akhir Piala Jerman dengan keperitan disingkirkan oleh seteru sama di pusingan sama seperti musim lalu.

Namun penyerang antarabangsa Norway yang menyumbang gol pada minit ke-67 di Stadium Weser ini tidak boleh disalahkan kerana inilah kali pertama dia disenaraikan dalam kesebelasan utama, disebalik tidak pernah gagal menjaringkan gol setiap kali diturunkan.

Selepas ini, ramai pihak berpendapat Haaland berhak meminta tempatnya di dalam skuad utama kendalian Lucien Favre dengan tumpuan pastinya kepada memastikan kedudukan Dortmund di kelompok 4 terbaik Bundesliga terjamin.

Dortmund juga dikatakan mampu untuk bercita-cita tinggi musim ini - menjulang kejuaraan Bundesliga, jika dilihat kepada bagaimana Haaland memulakan karier bersama Dortmund iaitu merekod hatrik ketika membantu pasukan tundukkan Augsburg pada 18 Januari.

Sejak itu, Dortmund tidak pernah gagal merekod kemenangan selesa - mengatasi FC Koln 5-1 dan Union Berlin 5-0 dimana Haaland menyumbang dua gol dalam setiap perlawanan.

Namun sebelum boleh menyatakan kemampuan memintas pencabar tangga kedua, RB Leipzig yang hanya dibezakan 2 mata, Dortmund terlebih dahulu perlu menguji permainan mereka menentang pendahulu, Bayern Munich Ahad ini.

Nampaknya 'bebas' dari bebanan dan kekecewaan disingkirkan dari Piala Jerman - salah satu atau kedua-dua alasan ini boleh diguna pakai oleh Dortmund untuk mengembalikan maruah mereka yang tercalar sebagai antara pasukan gergasi Jerman yang digeruni.

Jika sudah bersemangat, maka lebih mudah buat Dortmund yang terpaksa akur sebagai naib juara buat kali keempat sejak menjulang kejuaraan terakhir Bundesliga pada musim 2011/2012, untuk menjadi yang terbaik pula musim ini - mengembalikan trofi yang menjadi rebutan ke Westfalenstadion - sudah pasti dijana kecemerlangan Haaland yang menerima sokongan Favre.