Sejak tewas kepada Manchester United pada awal bulan lalu – meleburkan rekod tanpa kalahnya dalam lima perlawanan pertama -- Arsenal bangkit dengan menunjukkan persembahan demi persembahan memberangsangkan dan penuh bersemangat.

Sayang sekali, setelah mengharungi empat perlawanan dalam tempoh 12 hari yang lepas, aspek kelelahan akhirnya memberikan kesan terhadap skuad The Gunners lalu akhirnya tewas 2-0 kepada PSV Eindhoven dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) semalam.

"Tiba masanya untuk kami melaraskan semula pasukan. PSV merupakan pasukan yang lebih baik dan kami langsung tidak bermain pada tahap yang biasanya kami tunjukkan," ujar pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Aneh sekali, laporan statistik perlawanan daripada laman sesawang BBC.com menunjukkan Arsenal mendominasi penguasaan bola dengan catatan setinggi 70 peratus, dengan sebanyak 604 hantaran berjaya dilakukan.



Namun, strategi menyerang balas oleh PSV yang diketuai pemain sayap kiri, Cody Gakpo, ternyata begitu berkesan sehinggakan gawang Arsenal dibolosi sebanyak lima kali secara keseluruhan.

Mujurlah mereka diselamatkan oleh pembantu pengadil sebanyak dua kali dan oleh sistem VAR sekali -- keputusan-keputusan yang memadamkan jaringan PSV.

Dalam temu bual akhbar The Daily Mail semalam bersama penyerang utama Arsenal, Gabriel Jesus, pemain itu dengan yakinnya berkata bahawa dia tidak risau Arsenal akan menghadapi masalah 'burnout', atau kelelahan fizikal, mental dan emosi.

"Saya berehat dengan baik selepas perlawanan, makan dengan teratur, tidur yang cukup, tidak ada masalah daripada segi kecergasan.

“Jika perlu bermain sebanyak 70 perlawanan semusim pun, saya yakin boleh melakukannya," ujar Jesus.

Mungkin dia tidak sedar bahawa topik ini diutarakan gara-gara dirinya sudah tidak menemui jaring dalam lima perlawanan berturut-turut manakala kekalahan semalam merupakan perlawanan keenam.

Pemain-pemain yang biasanya cemerlang pun kelihatan cukup tenggelam semalam, antaranya Gabriel Martinelli dan Takehiro Tomiyasu.

Isu kelelahan ini tidak harus dipandang remeh.

Prestasi konsisten Arsenal sejak sebulan lalu menyaksikan mereka berada gah di persada Liga Perdana Inggeris, dengan kekalahan Manchester City kepada Liverpool pada 16 Oktober lalu membolehkan The Gunners mendahului dengan jurang dua mata.



Namun, di sebalik segala keghairahan, penyerang terbaik Arsenal sepanjang zaman, Thierry Henry, pantas memberikan peringatan agar bekas kelabnya itu tidak terlalu terbawa-bawa.

"Kejayaan hanya diraikan selepas 38 perlawanan selesai, bukannya selepas 11 perlawanan ketika ini," kata Henry.

Dia turut merujuk kepada usaha Liverpool sepanjang dua musim lalu yang cuba bermatian-matian untuk mengekalkan perlumbaan bersama City tetapi akhirnya tewas dalam kedua-dua musim.

Dalam perjuangan di pentas Eropah ketika ini, Arsenal cuma perlu memastikan mereka membenam kelab FC Zurich yang berada di tangga tercorot peringkat kumpulan dalam perlawanan seterusnya bagi memastikan mereka mengakhiri peringkat ini sebagai juara kumpulan.

Dalam liga pula, mereka bakal berhadapan dengan cabaran besar ketika menentang Chelsea dalam tempoh sembilan hari lagi tetapi jika musuh itu berjaya diatasi, haluan seterusnya tampak mudah, dengan hanya Wolverhampton, West Ham dan Brighton menanti.

Namun, harus diingatkan, ia harus mudah hanya jika Arsenal mengekalkan konsistensi dan tidak terbuai-buai oleh kemenangan berterusan yang dikecapi sebelum ini.

Kekalahan di tangan PSV itu wajar menjadi laungan untuk mereka segera sedar daripada lamunan.