Andai ditanya sebulan yang lalu, mampukah pemenang dua kali pingat emas Sukan Olimpik, Lin Dan, membuat penampilan kelimanya di Tokyo, Julai depan, jawapannya sukar.

Namun, dengan pengumuman baru dibuat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa yang capai kata sepakat dengan tuan rumah, Jepun, menunda temasya sukan terbesar dunia itu ke musim panas tahun hadapan, 23 Julai sehingga 8 Ogos 2021, susulan penularan wabak Convid-19 yang semakin serius di seluruh dunia, jelas ia beri ruang untuk bekas pemain nombor satu dunia itu untuk bangkit mencari tempatnya dalam kontinjen badminton China.

Ranking kelayakan Lin Dan untuk temasya itu kini adalah di tangga ke 26. Untuk sesebuah negara punyai dua wakil, pemain perlu berada dalam kelompok 16 terbaik, dan ia kini diisi oleh Chen Long dan Shi Yuqi. Selain itu, Lin Dan juga perlu atasi dua pemain muda, Lu Guang Zu dan Huang Yu Xiang.

Setakat ini, tiada kejohanan yang dapat dianjurkan dalam tempoh dunia dalam keadaan berjaga-jaga, setelah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ambil keputusan menggantung dan menunda semua kejohanan di bawah badan induk itu ketika ini dan dijangka sehingga Jun. Dalam masa yang sama, BWF turut membekukan ranking semasa semua pemain, namun masih menunggu pengumuman rasmi mengenai mekanisma terbaru membabitkan tempoh kelayakan yang sepatutnya berakhir 30 April ini.

Seandainya keadaan semakin pulih, dan BWF buat keputusan untuk panjangkan tempoh kelayakan, Lin Dan mungkin dapat rebut peluang yang sebulan lalu tampak kian jauh dari genggamannya untuk beraksi.