Dua edisi kejohanan utama -- Euro 2016 dan Piala Dunia 2018 -- suram tanpa kelibat lautan oren Belanda dalam laluan memulihkan reputasi sebagai pasukan digeruni.

Belanda pada suatu ketika terperosok di tangga ke-17, catatan pada Ogos tahun lalu itu merupakan ranking terburuk pernah dihuni mereka.

Sebaik ditabalkan peranan jurulatih, Ronald Koeman sedar beliau berdepan laluan berliku untuk kembali melonjakkan bola sepak Belanda dalam tempoh singkat.

Bekas pertahanan itu pantas menyuntik kesegaran skuad melalui sumber tempatan yang ada dengan duo muda kelab PSV, Denzel Dumfries dan Steven Bergwijn, serta Arnaut Groeneveld yang membuat penampilan utama buat julung kalinya ketika menghadapi Jerman, awal pagi tadi.

Selain itu, tonggak tengah seperti Frenkie de Jong dan Marten de Roon yang masih mentah di peringkat antarabangsa diberikan tanggungjawab besar, namun itu tidak menghalang mereka daripada meraih kemenangan bergaya 3-0.

Sudah tujuh perlawanan diharungi di bawah asuhan Koeman, mereka sekadar mencipta dua kemenangan selain dua kekalahan.

Begitupun, sistem 4-3-3 yang diterapkan bekas pengendali Everton itu nyata mengejutkan ramai apabila berjaya mengekang keampuhan Jerman.

Biarpun Jerman dilanda kemelut dalaman, barisan terbaik yang ditampilkan mencerminkan betapa mereka memandang tinggi perlawanan ini.

Begitupun, skuad Oranje memberi isyarat terhadap kebangkitan mereka.

Kemunculan pemain muda seperti Dumfries dan Bergwijn pastinya menjanjikan sinar buat mereka pada masa akan datang.

Dumfries merupakan permata baru selaku pertahanan kanan. Dia cukup lincah mempertahankan kubunya tetapi aset utamanya adalah kemampuan lariannya ketika membantu serangan.

Rakan sepasukan di bahagian kelab, Bergwijn tidak kurang hebatnya. Dia mempunyai kemahiran tinggi yang membuatkan benteng lawan sulit menanganinya.

Bagaimanapun, wira sebenar skuad Belanda ketika ini ialah Memphis Depay.

Dia bergerak bebas untuk mencorak permainan, baik dalam situasi bertahan mahupun menyerang.

Selain memiliki kemahiran menggelecek, pergerakannya sukar diramal dan semakin matang.

Depay tahu bila waktu untuk sesuai untuk membuat hantaran, mencipta gerakan atau melancarkan rembatan.

Apapun, tabik kepada sebuah negara yang memiliki populasi 17.02 juta orang ini kerana segera bangkit daripada lamunan dengan membentuk sebuah pasukan berwajah baru.