Stadium Wembley, final Piala Liga, 2 Mac 2014 -- Seramai 80,000 penonton menyaksikan saat mendebarkan apabila hantaran silang Aleksandar Kolarov yang melepasi seorang pemain pertahanan Sunderland berjaya mencari Samir Nasir. Beberapa saat kemudian, Stadium Wembley digegarkan dengan sorakan penyokong Manchester City.

Rembatan Nasri melepasi capaian penjaga gol Sunderland, Vito Mannon, dan gerakan cemerlang Jesus Navas menamatkan peluang Sunderland untuk mengatasi City dalam pemburuan gelaran Piala Liga.

Dalam jangka masa lima tahun, Manchester City telah membolot banyak trofi. Penyuntikan sejumlah wang yang banyak serta kehadiran bintang meningkat naik daripada LaLiga, David Silva (Valencia) dan Sergio Aguero (Atletico Madrid), membantu mereka mendominasi liga tempatan.

Lain pula kisahnya dengan kerjaya Nasri yang kelihatan terumbang-ambing. Daripada juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dua kali kepada ejen bebas, perjalanan bola sepak pemain kelahiran Perancis itu penuh dengan liku sejak zaman kegemilangannya pada tahun 2014. Di manakah silapnya buat pemain yang pernah dianggap mampu menggantikan Zinedine Zidane itu?

Permulaan ‘Little Zidane’

Kerjaya bola sepak Nasri bermula semasa dia bermain untuk kelab bola sepak remaja tempatan di Marseille. Berita tentang kemahirannya mengawal bola tersebar sehingga ke telinga pencungkil bakat Olympique de Marseille yang terus merekrut Nasri pada masa itu ketika dia baru sahaja berusia sembilan tahun.

Prestasi cemerlangnya di akademi bola sepak tersebut membuatkannya terpilih dalam skuad senior hanya pada usia 17 tahun. Pemain dari Perancis itu terus beraksi hebat bersama-sama seorang lagi pemain dari Perancis, Franck Ribery.

Seperti kebanyakan pengurus kelab bola sepak lain pada masa itu, Arsene Wenger menghantar pencungkil bakat untuk memantau perkembangan pemain bola sepak dengan bakat luar biasa itu.

Musim panas 2008, Wenger berjaya mendapatkan khidmat Nasri untuk menyertai kelab London itu.

Ditandatangani sekitar GBP11 juta, dia dicanang menjadi pengganti Alexander Hleb yang meninggalkan kelab London Utara itu untuk mencari peluang di kelab bola sepak lain.

Berbekalkan kebijaksanaan dan kepintarannya bermain bola sepak, nama Nasri terus menjadi antara pilihan utama senarai pemain Wenger. Dengan sepakan gol dan bantuan gol yang berterusan menyusul, Nasri membuktikan ketepatan pilihan Wenger untuk mempercayainya.

"Ketika anda melihat impak yang telah dilakukan, Nasri seakan berada jauh ke hadapan daripada apa yang telah dirancangkan," kata Wenger menerusi artikel daripada laman web Skysports bertarikh 8 Oktober 2008.

"Dia baru sahaja berusia 21 tahun, baru sahaja berhijrah dari Perancis ke England dan apa yang boleh saya katakan, saya sangat berpuas hati dengan sikap dan persembahannya."

Musim 2010/11 menyaksikan prestasi Nasri yang sangat cemerlang sebagai pemain tengah bersama pemain lain seperti Cesc Fabregas, Jack Wilshere dan Tomas Rosicky.

Gabungan keempat-empat pemain itu membolehkan Arsenal memenangi perlawanan dalam masa yang singkat dengan Nasri menjadi penyumbang terbesar.

Seorang pemain tengah yang lincah dan elegan, dia menembusi pertahanan lawan dengan mudah. Gaya permainannya menyerupai gaya permainan pemain bola sepak legenda Perancis, Zidane, sekali gus mendapat julukan ‘Little Zidane’.

Pada musim paling berjaya dan terakhirnya sebagai pemain Arsenal, dia berjaya menjaringkan 15 gol disebabkan kerjasamanya sekali lagi dengan pakar hantaran bola, Fabregas.

Permulaan buat pengakhiran

Bakat sahaja tidak memadai untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang berjaya. Jika tidak, kerjaya bola sepak Nasri tidak akan merudum dalam masa singkat. Kerja keras dan sikap yang betul amat penting dalam kejayaan satu-satu pasukan bola sepak.

Pemain dari Perancis itu terkenal dengan sikap baran dan angkuhnya. Agak menyedihkan apabila melihat kerjaya pemain bola sepak yang berbakat luar biasa merosot disebabkan isu perangainya.

Selepas menandatangani kontrak dengan Manchester City pada penghujung musim 2010/11, masa depan kerjaya pemain tengah itu kelihatan lebih gelap.

Isu kewangan adalah penyebab utama perpindahannya ke kelab bola sepak Midlands itu. Prestasinya naik turun semasa bermain untuk Manchester City.

Bekas jurulatihnya, Roberto Mancini, meluahkan kekecewaannya terhadap permainan Nasri yang tidak konsisten sehinggakan dia mahu menumbuk Nasri. Perpindahannya ke Manchester City turut menjadikannya orang paling dibenci di London Utara.

Walaupun dengan bakat semula jadinya yang luar biasa, Nasri sering diabaikan oleh skuad kebangsaan Perancis disebabkan kelakuannya.

Pergaduhannya dengan Thierry Henry demi sebuah tempat duduk bas telah mencetuskan kontroversi besar di Perancis.

Dianggap sebagai individu yang suka mengganggu, nama Nasri dibuang daripada skuad Piala Dunia 2014 dan sekali gus memaksanya bersara daripada arena bola sepak antarabangsa pada usia 27 tahun.

Kini mencecah usia 32 tahun dan peluang untuk menyertai kelab bola sepak gergasi Eropah tampak suram, Nasri tersenarai sebagai salah seorang bintang bola sepak muda berbakat besar yang kini malap disebabkan perwatakannya.

Bakat sahaja tidak memadai untuk berjaya. Kerja keras, iltizam dan sikap menghormati adalah beberapa ciri penting untuk berjaya dalam hidup.