Barangkali benarlah ungkapan bahawa dalam detik-detik gemilangnya pun, Raheem Sterling kekal selaku satu figura yang penuh kontroversi.

Daripada seorang pemain yang mudah disalahertikan, sering dinafikan sanjungan hinggalah kepada sasaran mudah cacian dan kecaman, pemain Manchester City kelahiran Kingston, Jamaica ini – dia berpindah ke London pada usia lima tahun – sudah mengharungi semuanya.

Jelas, ketika berdepan Denmark dalam separuh akhir Euro 2020 di Wembley awal pagi kelmarin, Sterlinglah yang menjadi pencetus kemenangan 2-1 England dalam masa tambahan.

Larian gemilangnya membawa kepada gol penyamaan daripada gol sendiri Simon Kjaer pada minit ke-39 dan kelincahannya di celah-celah deretan kaki pertahanan Denmark menghasilkan sepakan penalti selepas 13 minit dalam masa tambahan yang melonjakkan The Three Lions ke final Kejohanaan Eropah buat julung-julung kalinya.

Di sebalik itu pun, seperti dipaparkan laman indianexpress.com, Sterling mendapati dirinya dihamburkan kata nista – satu figura yang mengundang kemarahan.

Baik, daripada pengulas/pengkritik hingga kepada sesetengah peminat dan bekas pemain, dia dilabel “durjana”.

“Ia satu skandal,” kata bekas tonggak Liverpool, Dietmar Hamann. “Ia meragukan,” ujar bekas pemain England, Gary Neville. “Tentunya amat pahit untuk kalah begini,” pengurus Denmark, Kasper Hjulmand, menyimpulkan.



Jenuh berdepan kritikan pedas sepanjang kerjayanya, komen sedemikian tidak pun memeranjatkan Sterling, jauh sekali untuk menggoyahkannya.

Di dalam era bola sepak moden di mana pemain menyerang mudah rebah dengan selembut-lembut sentuhan, Sterling harus tidak berbeza dengan kebanyakan penyerang lain dan kesudahannya, terserahlah kepada pengadil dan video bantuan pengadil (VAR) untuk menghakiminya.

Namun, sama ada kempen England dalam Euro 2020 akan berakhir dengan linangan air mata kegembiraan atau esakan kekecewaan awal pagi Isnin ini, hakikatnya tidak boleh diketepikan bahawa Sterlinglah tenaga penggerak penting buat skuad kendalian Gareth Southgate ini.

Barang diingat dia menjadi penyumbang tiga jaringan penting – gol kemenangan ke atas kedua-dua Croatia dan Republik Czech, gol pendahuluan yang menggemuruhkan Jerman – di samping meraih sepakan penalti yang memisahkan England dengan lain-lain pencabarnya dalam kejohanan ini.

Dalam pada itu, Sterling kekal kurang didendang dan dikasihi – jika dibandingkan dengan sanjungan terhadap Harry Kane mahupun bintang baru naik seperti Jack Grealish, Phil Foden atau Jadon Sancho.

Begitupun, dia seakan-akan sudah lali dengan layanan sedemikian rupa, apatah lagi perjalanan panjangnya hingga ke tahap ini ternyata sarat dengan halangan rintangan, lebih-lebih lagi cacian yang tidak pun membeza-bezakan.



Ketika baru mengukir nama bersama Liverpool, dia dilabel “budak hingusan 20 tahun yang tamakkan kekayaan” gara-gara kemahuannya untuk berpindah keluar dari Anfield.

Southgate sendiri ‘membekukan’ khidmatnya tahun lalu selepas dia terbabit dalam pergaduhan dengan Joe Gomez di kantin pusat latihan England di St George's Park, lanjutan daripada rasa tidak puas hati terhadap kekalahan 1-3 City kepada Liverpool sebelum itu.

Tidak cukup dengan itu, kekerapan Sterling mensesiakan peluang mudah, seperti dalam perlawanan dengan Denmark, selain gemar menyimpan bola terlalu lama turut menimbulkan rasa tidak senang hati rakan sepasukan.

Maka, tidak hairanlah apabila England gagal mendapatkan jaringan ketika seri 0-0 dengan Scotland di peringkat kumpulan, 19 Jun lalu, kritikan terhebat menyasarkan Sterling.

Keadaannya seakan-akan setiap kali England hambar, dialah yang sering dipersalahkan. Pun begitu, sudah kerap juga tatkala England berada di rahang kekalahan, Sterling akan tampil sebagai penyelamat.

Cuma, peluang dan kesempatan tidak pernah terhindar daripadanya, dengan perlawanan kemuncak menentang Itali di Wembley, awal pagi Isnin ini (3.00 pagi waktu Malaysia) mungkin mengangkatnya selaku wira yang hanya selayaknya pujian dan sanjungan.