Saya boleh rasakan betapa tingginya rasa hormat Mo Salah terhadap rakan sepasukannya, jurulatih beliau dan terutama sekali pihak lawan dan permainan bolasepak itu sendiri setiap kali beliau menjejakkan kaki ke atas padang.



Rekod 100 gol dalam 162 perlawanan di pentas Liga Perdana Inggeris yang dicapai beliau dalam perlawanan menentang Leeds United pada hujung minggu yang lalu meletakkan beliau di belakang Alan Shearer, Harry Kane, Sergio Aguero dan Thierry Henry, yang mencatatkan rekod gol yang sama dengan jumlah perlawanan yang lebih rendah.

Rekod 100 goal untuk Salah tidak datang secara mudah dan sepantas ini, jikalau beliau tidak menunjukkan persembahan konsisten di atas padang dalam kesemua perlawanan di Liga Inggeris yang dibarisinya.

Apa konteks persembahan konsisten yang kita ingin fahami daripada segi teknikal di sini?

Gol ke-100 yang dipersembahkan beliau merupakan satu ringkasan corak permainan yang sekian lama dihasilkan beliau sepanjang beraksi di Liga Inggeris, di mana beliau akan selalu terlibat secara mendalam dalam 'build-up' permainan, bola akan sampai kepada Trent Alexander Arnold di bahagian kanan dan Trent akan menekan ke kawasan tengah untuk Salah mengunci misi penamat tersebut secara kemas.

Ini merupakan assist kelima oleh Trent kepada Salah dalam liga tersebut.

Memperoleh kepercayaan Klopp selaku 'rightback' utama pasukan Liverpool, Trent sudah merekodkan 35 assist dalam Liga Inggeris untuk meletakkan beliau yang hanya berumur 22 tahun di belakang Cesc Fabregas, Wayne Rooney dan Ryan Giggs, yang menghasilkan jumlah assist sama pada usia yang lebih muda.

Dalam perlawanan menentang Leeds itu sendiri, Trent mencipta lima peluang untuk percubaan gol untuk pasukannya.





Perbandingan statistik oleh The Athletic di atas menunjukkan Lewandowski dan Mbappe mempunyai purata 'non-penalty expected Goals (xG)' yang lebih tinggi kerana terdapat pelbagai perbezaan ketara daripada segi corak permainan pasukan masing-masing, kualiti pihak lawan, tahap kompetitif liga untuk kedua-dua pemain ini. Tahap variability (atau pembolehubah faktor xG) mereka lebih besar berbanding Salah, kerana walaupun terdapat beberapa permainan, di mana mereka mencipta jumlah xG yang banyak, jumlah xG itu tidak kekal sama dalam beberapa perlawanan yang lain. Ini bermaksud, ada masa mereka boleh mencipta jumlah purata dua hingga tiga gol dalam sesuatu perlawanan dan ada masa mereka kekeringan peluang untuk mencipta jumlah purata gol yang sama dalam perlawanan-perlawanan lain.

Berbalik kepada Salah, meskipun beliau mempunyai purata non-penalty (xG) yang lebih rendah jika dibandingkan dengan Mbappe dan Lewandowski yang memegang purata lebih tinggi, Salah merupakan seorang penyerang yang paling konsisten untuk menghasilkan jumlah peluang gol dalam setiap perlawanan. Pendek kata, tidak kisahlah siapapun pihak lawan yang berhadapan dengan Salah, beliau akan tetap beraksi dan cuba mengekalkan jumlah gol atau percubaan gol di tahap yang sama.

Di sini saya dapat berasakan, atas dasar hormat yang tinggi yang Salah ada terhadap setiap perlawanan, setiap pihak lawan yang ditentangi atau atas dasar hormat terhadap diri sendiri terutamanya, beliau memegang prinsip yang sama untuk memastikan tahap persembahan beliau di atas padang kekal konsisten, selaras dengan jumlah purata peluang gol yang dicipta.

Ada juga pendapat mengatakan bahawa Salah hanya boleh dianggap sebagai penyerang yang konsisten kerana sifat pentingkan diri beliau di atas padang, di mana pada musim-musim lepas, terdapat pelbagai isu beliau tidak membuat hantaran kepada Sadio Mane dalam situasi-situasi tertentu, di mana Mane mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menjaringkan gol untuk Liverpool.

Akhir kata, mungkin sifat-sifat sebeginilah yang kadangkala perlu diterapkan untuk seorang penyerang mampu memaparkan aksi konsisten dalam setiap perlawanan. Untuk penyokong bolasepak, kita kadangkala tidak mahu meminta banyak daripada kelab kesayangan kita, cukup sekadar aksi konsisten yang membuatkan kita kekal percaya dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kelab tersebut.

Salah kekal faktor utama kepercayaan penyokong Liverpool terus kukuh terhadap pengurusan dan persembahan cemerlang kelab utama di daerah Merseyside itu.