Kira-kira 10 minggu sebelum Liga Perdana Inggeris musim ini berakhir, pendahulu liga, Manchester City, berada dalam perlumbaan sengit dengan Liverpool untuk ditabalkan juara.

Perbezaan di antara kedua-dua pasukan setipis tiga mata cuma.

Awal pagi tadi, penghalang di hadapan mereka adalah seteru tradisional, Manchester United, gergasi yang pada satu zaman dahulu cukup menggerunkan.

Kali terakhir United tewas di dalam liga adalah sewaktu menentang Wolverhampton Wanderers pada tanggal 4 Januari lalu -- hampir dua bulan lamanya.



Mungkinkah United mampu mencipta kejutan dan mengganggu perjalanan City dalam menjadi juara liga buat musim kedua berturut-turut?

Lagipun, City masih memulihkan diri setelah tewas mengejut 3-2 di tangan Tottenham terdahulu.

Itu soalan yang ditanyakan sewaktu tempoh pra-perlawanan.

City ternyata hanya memerlukan lima minit untuk menghancurkan segala tanggapan itu.

Biarpun 17 minit kemudian United berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi pemain muda yang semakin menunjukkan taringnya, Jadon Sancho, Kevin De Bruyne sekali lagi membolosi gawang United dan mulai dari detik itu, United hilang arah – hilang pedoman, hilang segala-galanya.

Menurut laporan akhbar Daily Mail, pada separuh masa kedua, statistik penguasaan bola City adalah setinggi 92 peratus sedangkan United hampir langsung tidak dapat menyentuh bola, apatah lagi hendak membalas.

Bekas pemain Manchester City, Micah Richards, menggambarkan situasi separuh masa kedua itu bagaikan sekumpulan orang dewasa menentang kanak-kanak.



Bekas kapten United, Roy Keane, seperti biasa menghentam dengan lantangnya pemain-pemain United -- menuduh mereka lebih mementingkan imej dan gaya rambut berbanding persembahan di atas padang.

Seorang lagi bekas pemain United, Gary Neville, pula memberikan rumusan yang paling tepat -- terdapat satu jurang perbezaan yang cukup besar di antara kedua-dua pasukan, tetapi sikap pemain United yang menyerah kalah sebelum perlawanan berakhir cukup memalukan.

Seperti yang dijangka, ketiadaan Cristiano Ronaldo dalam perlawanan sepenting ini menghadirkan pelbagai kontroversi.

Pengurus United, Ralf Rangnick, mengumumkan bahawa Ronaldo tidak akan beraksi gara-gara kecederaan pinggul, namun berita ini seperti dinafikan secara tidak langsung oleh kakak Ronaldo, Katia Aveiro.

Katia memberikan 'Like' terhadap satu pos Instagram yang mendakwa Ronaldo sebenarnya cergas 100 peratus dan Rangnick menggugurkannya daripada skuad atas dasar taktikal semata-mata.

Tidak kira apa pun ura-ura tentang Ronaldo, berdasarkan apa yang dilihat dalam perlawanan awal pagi tadi, segala aspek Manchester United, baik daripada segi pertahanan, bahagian tengah, serangan mahupun bahagian semangat, tidak ada satu pun daripadanya yang berfungsi seperti satu kelab elit.

Dalam temu bual pasca perlawanan, Rangnick menidakkan sekeras-kerasnya bahawa pemain-pemain United memilih untuk menyerah kalah dari awal dan apa yang berlaku adalah mereka tewas kepada salah satu pasukan terbaik dunia ketika ini… itu sahaja.

Namun, berapa lama lagikah Rangnick mampu untuk menidakkan bahawa keputusan itu menegaskan yang tahap United sebenarnya masih berbatu-batu jauhnya daripada apa yang patut mereka kecapi?