Macam mana Hari Raya anda semua tahun ini? Seronok ke tidak?. Aidilfitri tahun ini pastinya berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini. Apa tidaknya, kita terpaksa meraikannya dengan normal baharu ekoran pandemik Covid-19.

Selain tidak dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman, kita juga tidak boleh mengadakan rumah terbuka dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan walaupun Hari Raya hanya setahun sekali.

Ok, sebut pasal raya, baru-baru ini iaitu dua hari sebelum Syawal menjelma, beberapa pemain Kedah ada memuat naik status di laman media sosial masing-masing mengenai isu gaji yang membelenggu skuad Lang Merah ketika ini.

Antara lain, mereka menyuarakan rasa kecewa, tidak puas hati dan berang dengan pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan Kedah yang tertunggak berbulan-bulan.

Genap 30 Mei ini, cukup empat bulan pemain dan pegawai pasukan berkenaan tidak menerima gaji penuh sejak Februari lalu. Sememangnya, ia mendukacitakan ketika Aidilfitri sepatutnya dirasai dengan perasaan ceria dan bahagia.

"Indah khabar dari rupa... tunggu punya tunggu habuk ja dapat". Itu antara luahan beberapa pemain Kedah selepas pihak tertentu gagal mengotakan janji untuk melunaskan tunggakan gaji mereka sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah KFA, Asmirul Anuar Aris sebelum ini ada mengatakan kerajaan negeri terdahulu sudah meluluskan RM1.5 juta untuk menjelaskan jumlah tertentu tunggakan gaji berkenaan.

Dan menurut Asmirul, wang itu perlu disalurkan oleh kerajaan baharu di negeri itu. Namun sehingga kini ia masih belum dilakukan oleh pihak berkenaan dan pemain dan pegawai skuad Hijau Kuning terus menanti gaji mereka.

Saya secara peribadi, bersimpati dengan nasib mereka kerana tidak bergaji dalam tempoh yang lama sehingga ada di kalangan mereka terpaksa mencari pendapatan alternatif untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.

Justeru, di hari yang mulia ini diharap kerajaan negeri Kedah yang baharu termasuk mana-mana individu yang masih memegang jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Kedah KFA dapat membuka mata untuk segera menyelesaikan masalah ini.

Usah masalah ini terus menghantui mereka dan terus menjadikan tajuk-tajuk di dada akhbar seperti "Mana duit raya kami?".