Majlis pelancaran jersi utama dan kedua Selangor pada 26 Januari lalu berlangsung dengan jayanya dan ia turut dilancarkan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tidak dinafikan, sejak Tengku Amir dilantik sebagai Presiden FAS Julai lalu, banyak perubahan daripada segi pengurusan sudah dilaksanakan.

Jersi pertama, kedua dan ketiga Selangor jelas menjelmakan corak dan warna yang garang.

Namun, apakah barisan kendalian B Satianathan berupaya menjadi pesaing utama Johor Darul Takzim (JDT) dalam kancah Liga M musim ini?

Jika dilihat kepada skuad Selangor dengan14 muka baru termasuk empat awang import baru, mereka memiliki barisan yang boleh dikatakan seimbang.

Namun, Selangor menerima sedikit tamparan apabila pemain sayap berpengalaman, Wan Zack Haikal Wan Nor mengalami kecederaan lutut yang memaksanya berehat seketika.

Pada pengamatan penulis, Wan Zack adalah belian tempatan terbaik Selangor musim ini berlandaskan aksi bekas pemain Harimau Muda itu bersama Felda musim lalu.

Kini dengan ketiadaan Wan Zack, pemain baru lain seperti Syazwan Zainon dan Nurridzuan Abu Hassan perlu tampil lebih konsisten di bahagian sayap.

Selangor turut mengekalkan sebahagian besar pemain-pemain muda musim lalu untuk saingan 2019.

Penulis berharap pemain seperti Sean Selvaraj, K.Kannan, Amirul Ashraf dan Faizzudin Abidin mampu tampil lebih matang.

Sudah pasti, penulis optimis bek kanan kebangsaan Syahmi Safari berupaya menjelmakan aksi lebih ampuh selepas cemerlang bersama Harimau Malaya di Piala AFF Suzuki lalu.

Mungkin ,Satianathan boleh menimbang kemungkinan menggunakan Syahmi di posisi lain juga kerana bekas pemain Harimau Muda C itu turut berupaya beraksi di posisi tengah dan sayap.

Di kalangan awang import, penulis berasa Selangor mempunyai lebih kualiti berbanding awang import musim lalu.

Rufino Sergovia sudah terbukti sebagai penyerang berbisa musim lalu dan meskipun sudah menjangkau 32 tahun, penulis percaya dia akan lebih cemerlang musim ini.

Antonio German, Endrick Dos Santos, Michal Nguyen dan Taylor Regan turut hadir dengan reputasi agak baik.

Sudah pasti cabaran sukar menanti Selangor dengan pasukan seperti Johor Darul Takzim, Pahang, Perak, Terengganu FC dan Kedah turut tampak ampuh musim ini.

Penulis percaya Satianathan mampu mencanang pendekatan taktikal terbaik dan ia terserah kepada pemain untuk melaksanakan tugas di atas padang.

Ramalan penulis, Selangor mampu berada di kalangan lima pasukan terbaik Liga Super serta memberi cabaran kuat dan mungkin juga menjuarai saingan Piala FA atau Piala Malaysia musim ini.