Kekalahan memalukan Arsenal ke atas juara bertahan Manchester City 0-5 mengundang makian dan cacian peminat mereka di seluruh pelosok dunia.

Tiga kekalahan liga, tanpa sebarang jaringan dan 9 bolos, malah kini menghuni tangga terakhir Liga Perdana Inggeris menjadi satu penghinaan buat kelab yang pernah dijulang ‘Invincibles’, tanpa kalah dalam 38 perlawanan liga suatu masa dahulu.

Bayangkan mereka hanya mampu melakukan 9 percubaan tepat sepanjang 3 perlawanan liga, satu statistik yang cukup menakutkan. Hanya satu percubaan yang dihasilkan ketika berdepan Manchester City, sekaligus rekod baru kelab dengan gagal menjaringkan sebarang gol dalam 3 perlawanan pertama liga sejak 1953.

Situasi ini dilihat lebih meruncing kerana The Gunners menjadi kelab Liga Perdana dengan perbelanjaan paling banyak musim ini walaupun tidak layak langsung ke mana-mana kejohanan Eropah. Tatkala pasukan lain lebih berjimat cermat dalam perbelanjaan pasca Covid-19, Arsenal yang masih tanpa sebarang ketua pencari bakat di dalam kelab, memberi kebebasan kepada Mikel Arteta dan Edu mencari pemain bagi memantapkan pasukan.

Siapa punca sebenar malapetaka ini? Taktikal Arteta? Bagi penulis, agak kejam jika hanya menyalahkan Arteta 100 peratus. Arteta sebenarnya kurang bernasib baik pada perlawanan pertama, selepas 4 pemain dijangkiti Covid-19 termasuk 2 penyerang utama, Alexander Lacazette dan Pierre Emerick Aubameyang. Pada perlawanan kedua, dia kehilangan Ben White, pertahanan baru juga akibat Covid-19. Itu tidak termasuk Thomas Partey dan beberapa pemain lain yang mengalami kecederaan. Arteta sebenarnya tidak mendapat skuad utama dalam 3 perlawanan ini, tapi kegagalan pemain yang mengisi kekosongan itu membuktikan skuad ini sangat rapuh.

Adakah Arteta masih memiliki talian hayat untuk menyelamatkan kerjayanya? Semuanya bergantung kepada keputusan lembaga pengarah. Rekod Stan Kroenke juga tidak baik di kaca mata peminat Arsenal, namun dia memilik kuasa untuk terus memberi sokongan atau memecat Arteta, dan bukannya peminat.




Penulis melihat kesilapan lembaga pengarah yang membuang, serta melepaskan beberapa figura utama di belakang tabir menjadi punca utama Arsenal hilang kestabilan. Kehilangan Ivan Gazidis, Raul Sanllehi serta Huss Fahmy cukup memberikan impak besar. Malah, tanpa ketua pencari bakat selepas Francis Cagigao keluar dari kelab selepas berbakti selama 24 tahun, Arsenal sebenarnya gagal dalam pembelian pemain setakat ini. Kebergantungan hanya kepada Edu dilihat satu risiko yang cukup tinggi, namun bagi penulis, dia gagal dalam tugasannya.

Bayangkan menandatangani Willian secara percuma, menawarkan kontrak 3 tahun dengan gaji lumayan lebih £ 200,000 seminggu dan akhirnya gagal untuk masuk dalam kesebelasan utama. Lebih memedihkan, mereka gagal mencari kelab untuk menjualnya, sehingga terpaksa melepaskan secara percuma walaupun masih memiliki kontrak kepada Corinthians, persis kes Mesut Ozil dan Skhordan Mustafi. Penjualan Joe Willock juga mengundang persepsi negatif, tatkala pemain yang lahir dari akademi sendiri itu merupakan pemain tengah yang menjaringan gol terbanyak di liga perdana ketika dipinjamkan kepada Newcastle United. Sudahlah menjual dengan harga murah sekitar £20 juta, dan mengambil Martin Odegaard yang hanya meledak 2 gol dengan harga dua kali ganda lebih mahal dari Real Madrid.

Masihkah Arteta mempunyai masa? Adakah dia sudah menggunakan kesemua talian hayatnya? Bagi penulis, berehatnya saingan liga bagi memberi laluan kepada perlawanan peringkat antarabangsa mungkin talian hayat terakhir yang Arteta ada untuk membaiki segalanya. Itupun jika lembaga pengarah masih memiliki kepercayaan terhadapnya.

Trust the process. Tapi sampai bila?