Saingan Sepak Takraw League 2020 anjuran pihak Astro Arena dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sudah pun membuka tirai 8 September lalu. Bermula dengan saingan divisyen 1 yang berlangsung di Stadium Tertutup Titiwangsa, kejutan terbesar dicipta pasukan yang baru pertama kali menyertai saingan, Bomba Fighters.
Disaat banyak tumpuan diberikan kepada nama-nama besar seperti Putrajaya Cyborg, Melaka Titans dan Terengganu Turtles, pasukan 'underdog' seperti Bomba Fighters dan Masum UPM Knights mencipta kejutan melangkah ke separuh akhir. Paling mengecewakan sudah pasti Terengganu Turtles yang dibimbing bekas perejam negara, Futra Abd Ghani apabila pasukannya sekadar mencatatkan satu kemenangan dari 3 perlawanan. Apa guna punya pemain nama besar seperti Sobey (Zulkifli Abd Razak) dan Pali ( Fadzli Ruslan) andai tiada di gelanggang untuk diturunkan kan?
Namun yang paling mencuri tumpuan sudah tentu juara Divisyen 1, Bomba Fighters yang mempertaruhkan gandingan Irsyad Faiz-Afiq Ramli-Razman Raof. Irsyad Faiz yang merupakan tekong sebenarnya bukanlah orang baru dalam sepak takraw, namun kelibatnya kurang diberikan perhatian mungkin kerana tidak menyertai STL pada musim yang lalu. Tekong kaki kiri ini cukup mencuri tumpuan kerana kerap melakukan 'ace' yang memberikan banyak mata kepada Bomba Fighters. Andai beliau dapat perbaiki teknik sewaktu menerima bola pertama dari pihak lawan, penulis tidak ragu-ragu yang Irsyad mungkin berada dalam radar jurulatih kebangsaan, Abdul Talib Ahmad.
Perejam Bomba Fighters, Afiq Ramli yang baru berusia 22 tahun mungkin masih 'muda' dari segi permainan, namun keazaman memperbetulkan setiap kesilapan selain keberanian berdepan lawan yang lebih berpengalaman harus diberikan pujian. Ketua pasukan Johor Tigris, Muqlis Borhan sewaktu ditemubual di dalam rancangan 'PM Bersama AM' turut memberikan pujian kepada Afiq biarpun baru pertama kali menyaksikan aksinya di pentas STL.
Ketua pasukan Bomba Fighters, Razman Raof turut mendapat pujian dari salah seorang tekong terbaik negara, Syahir Rosdi yang secara berseloroh gemar melihat riak wajah Razman yang selamba dan tidak memberikan sebarang reaksi sewaktu berhadapan pihak lawan.
Selain tiga pemain utama ini, terdapat tiga lagi pemain iaitu Muhammad Muzzamil, Nasyrul Izzuan dan Yazmee Yazdan yang turut membantu menyumbang keringat di saingan divisyen 1. Pasukan Bomba Fighters ini dibimbing oleh Ahmad bin Muhammad Zin.
Perjuangan mereka masih belum berakhir, Bomba Fighters akan layak ke saingan STL Liga Premier untuk musim hadapan dan juga ke saingan Champions Cup hujung tahun ini.
Ketika saingan div 1, geng-geng Bomba Fighters berkampung di Balai Bomba Chow Kit, agak-agak Champions Cup di Johor nanti duduk balai mana pula? Duduk balai pun boleh jadi champions tau! Bukan kaleng-kaleng.
Aidie Ramlan
Fri Sep 18 2020
