Beraksi standing atlet profesional dunia, ratu luncur air kebangsaan, Aaliyah Yoong Hanifah, kembali mendapat rentaknya di Australia apabila berjaya meraih pingat gangsa dalam acara keseluruhan wanita di Kejohanan Moomba Masters 2024.

Aaliyah mengumpul keseluruhan 2215.25 mata untuk naik ke podium bersama wakil Amerika Syarikat, Aliaksandra Danisheuskaya, yang memenangi pingat emas dengan 2911.11 mata diikuti Sade Ferguson dari New Zealand sebagai naib juara dengan 2477.89 mata di Sungai Yarra, Melbourne semalam.




Ini merupakan penampilan kali ke-11 di kejohanan berkenaan buat atlet berusia 20 tahun itu yang menyaksikan Aaliyah berjaya menaiki podium buat kali kedua selepas tahun 2022. Pada ketika itu, dia melakukan kejutan untuk muncul juala keseluruhan terbuka wanita dan gangsa untuk acara ‘tricks’.

Peluncur Terbaik Asia 2019 itu tetap berpuas hati dan teruja dengan pencapaiannya kali ini walaupun terlepas podium dalam acara ‘jump’ terbuka wanita apabila menamatkan saingan di tempat kelima selepas melakukan lompatan 44.5 meter dan keenam dalam acara ‘tricks’ dengan 5,030 mata.





“Saya sangat teruja dapat tempat ketiga secara keseluruhan. Secara realistik, untuk berada di podium acara tricks dan jump boleh berlaku jika saya dapat melakukan latihan intensif. Sayangnya, saya tidak dapat untuk melakukan latihan sebanyak itu dalam masa 6 bulan yang lepas kerana pelajaran dan peperiksaan di universiti”.

“Saya tetap akan terus lakukan yang terbaik dan menyasarkan untuk menjadi antara atlit luncur air peringkat dunia dalam masa terdekat,’’ katanya.