Dalam tempoh lapan tahun lepas, evolusi Romelu Lukaku begitu ketara sejak dia menyarung jersi Chelsea buat kali pertama sewaktu berusia 20 tahun.

Dalam jangka masa ini, Lukaku telah menaburkan bakti untuk tiga kelab di dua negara berbeza, menjaringkan sejumlah 193 gol dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman buat negaranya, Belgium.

Pada musim lalu, dia menjaringkan sebanyak 24 gol dan melakukan 11 bantuan jaringan untuk membolehkan Inter Milan menjulang trofi juara liga Serie A.

Pencapaiannya itu membuatkan Chelsea nekad untuk mendapatkan khidmatnya biarpun terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang teramat banyak.

Menurut laporan akhbar The Daily Mail, yuran perpindahan Lukaku ke Chelsea adalah sebanyak £98 juta (RM487 juta) manakala gaji mingguan yang ditawarkan kepadanya setinggi £450,000 (RM2.2 juta) seminggu!

Gaji tersebut jauh mengatasi N'Golo Kante yang dahulunya merupakan penerima gaji tertinggi Chelsea sebanyak £290,000 (RM1.4 juta) seminggu.

Dengan perbelanjaan sebanyak ini sebagai modal, mampukah Lukaku membawa trofi juara Liga Perdana Inggeris pulang ke Stamford bridge?

Ayuh kita singkap sedikit sejarah kerjaya Lukaku.




Lukaku pada 2013


Dia dibeli oleh Chelsea daripada kelab Anderlecht pada bulan Ogos 2011 dengan yuran perpindahan £18 juta (RM89 juta), namun hanya sempat beraksi dalam 15 perlawanan sebelum dijual pula ke Everton tiga tahun kemudian dengan nilai £28 juta (RM139 juta).

Seperti diketahui ramai, dia seterusnya menyertai Manchester United pada 2017 dan mengharungi tempoh dua tahun yang cukup tidak menggembirakan.

Sekadar rujukan, jumlah gol yang dijaringkan Lukaku sewaktu bersama United (28 gol) merupakan jumlah terendah buat semua kelab yang pernah disertainya secara tetap.

Setelah menyertai Inter Milan pada 2019, Lukaku menjaringkan lebih daripada 20 gol setiap musim bagi membuktikan sentuhan berbisanya tidak pernah hilang.

Sejak musim 2012-13, selain daripada Lukaku, cuma ada lima pemain lain yang berjaya menjaringkan lebih daripada 10 gol setiap musim dalam liga-liga utama Eropah -- Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Robert Lewandowski, Luis Suarez dan Pierre-Emerick Aubameyang.

Sewaktu kejuaraan Euro 2020, Lukaku pernah dipetik sebagai berkata, "Apabila orang ramai berbicara tentang Robert Lewandowski, Karim Benzema dan Harry Kane, mereka digelar sebagai penyerang berkelas dunia.

"Tetapi apabila berbicara tentang kejayaan saya, rata-rata mengatakan saya cuma menunjukkan persembahan yang baik.

"Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus bekerja keras dan menjadi lebih kuat lagi.

"Saya layak untuk digolongkan sebagai penyerang berkelas dunia juga."

Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez, merupakan antara calon terbaik untuk menghakimi Lukaku, kerana dialah orangnya yang telah membawa Lukaku ke Goodison Park dan melatihnya pada tahap kebangsaan sejak lima tahun lepas.

Dalam temu bual bersama laman sesawang talkSPORT, Martinez ditanya sama ada yuran perpindahan Lukaku ke Chelsea adalah berbaloi dan berpatutan, dan dia menjawab:

"Apabila sebuah kelab membeli pemain yang berada di puncak kerjayanya, seorang pemain yang telah mewakili negaranya hampir 100 kali serta penjaring terbanyak negara sepanjang zaman, harganya tidak lagi penting, apa yang penting adalah apa yang boleh dia sumbangkan untuk pasukan.

"Setelah Chelsea menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, Lukaku adalah pemain yang paling bersesuaian untuk mempertahankan kejayaan kelab dan menjadikan mereka lebih ampuh lagi."

Berbicara tentang Chelsea, perkara yang paling penting untuk diperhatikan adalah perubahan drastik mereka sejak Thomas Tuchel dilantik sebagai pengurus menggantikan Frank Lampard.

Di bawah pengelolaan Tuchel, Chelsea hanya bolos 16 gol dalam 31 perlawanan, rekod pertahanan yang boleh dikatakan agak mantap.

Namun, masalah terbesar mereka adalah daripada aspek jaringan gol.

Penjaring terbanyak mereka dalam liga adalah Jorginho yang sekadar menjaringkan tujuh gol, itu pun kesemuanya daripada sepakan penalti!

Penyerang yang dibeli tahun lalu, Timo Werner, hanya mampu menjaringkan enam gol dalam 35 penampilan, satu rekod yang cukup memalukan.

Masih terngiang-ngiang betapa hambarnya persembahan Werner sewaktu bersama Jerman dalam kempen Euro 2020 lalu.

Meskipun begitu, Chelsea berjaya menewaskan juara liga, Manchester City, sebanyak tiga kali berturut-turut dalam setiap pertembungan mereka, jadi bayangkan sahaja apa yang mampu mereka kecapi dengan seorang penjaring yang telah terbukti keupayaannya?

Menurut laporan The Daily Mail sekali lagi, Lukaku bakal diberikan jersi nombor 18, angka yang sama sewaktu dia menyertai Chelsea buat kali pertama.

Sama-sama kita saksikan sejauh mana impak Lukaku dalam percubaan keduanya dan sama ada kehadirannya bakal mengembalikan Chelsea ke persada liga.

Lukaku bersama Marina Granovskaia