Sewaktu tewas di tangan Brighton pada tanggal 15 Januari lalu, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menggambarkan keputusan itu sebagai kekalahan paling perit sepanjang kerjayanya.

Tidak dapat dipastikan sama ada kekalahan di tangan seteru yang sama -- kali ini gara-gara gol cantik pada minit-minit terakhir perlawanan di Stadium Amex semalam -- sama peritnya ataupun tidak.

Musim ini seharusnya menjadi satu yang ingin penyokong Liverpool lupakan, segala-galanya serba tidak menjadi -- pasukan mereka di tangga ke-9 liga, 21 mata terpisah daripada pendahulu, Arsenal, 10 mata berjarak dengan tangga keempat yang menjanjikan peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Rata-rata penyokong mengharapkan pasukan dapat menambah baik pencapaian musim lalu yang menyaksikan mereka berpeluang menggondol empat piala, tetapi kini mereka telah pun tersingkir daripada Piala FA dan Piala Carabao, yang kedua-duanya dimenangi dahulu.



Berkali-kali disebutkan, kehilangan Sadio Mane musim ini cukup dirasakan manakala penggantinya di posisi sayap kiri, Luis Diaz, masih lagi bergelut dengan kecederaan.

Penyerang utama, Mohamed Salah, telah menjadi wira beberapa kali sebelum Piala Dunia berlangsung, tetapi prestasinya kelihatan terumbang-ambing pasca kejohanan tersebut, biarpun memperoleh tempoh yang lama untuk merehatkan diri.

Darwin Nunez masih tidak meyakinkan dan cukup tidak konsisten manakala pemain paling baru dibeli, Cody Gakpo, masih lagi cuba menyesuaikan diri dan gagal mempamerkan sebarang aksi menarik yang berbaloi untuk disebutkan.

Menyebut tentang Gakpo, pelbagai kritikan mula dilemparkan ke arah Klopp dan pihak pengurusan Liverpool kerana membelanjakan wang terhadap pemain itu sedangkan kawasan yang paling memerlukan perhatian adalah bahagian jentera tengah.

Akhbar The Guardian memberikan kritikan pedas kepada dua pemain veteran Liverpool, kapten Jordan Henderson dan Fabinho, dengan menggelarkan persembahan mereka sebagai "dua orang tua yang pancit" sewaktu menentang Brighton dua minggu lalu.

Tindakan Klopp menurunkan barisan pemain lebih muda -- Stefan Bajtecic dan Naby Keita dalam perlawanan semalam bagi menyokong Thiago Alcantara sebagai pemain kreatif utama tidak dilihat berhasil juga.

Dalam temu bual bersama BBC beberapa hari lalu, Klopp mempertahankan dirinya dengan berkata dia tidak berubah menjadi seorang pengurus yang teruk secara tiba-tiba, bahkan kesukaran musim ini sudah dijangkakan dari awal, namun faktor kecederaan pemain-pemain penting tidak memudahkan tugasnya.

Tidak kira apa pun alasannya, rata-rata pihak berpendapat dengan pemain yang sedia ada, keputusan-keputusan yang Liverpool catatkan tidak seharusnya seteruk apa yang dilihat terjadi.

Apabila ditanya kepada pemain-pemain sendiri, jawapan yang diberikan turut berbeza.

Thiago mengatakan punca utama kelonglaian mereka adalah tekanan yang dirasakan sejak musim lalu -- setiap perlawanan bagaikan perlawanan peringkat akhir dan kegagalan tidak akan diterima.

Andy Robertson pula menuding jari kepada masalah keyakinan diri dan berkata bahawa keyakinan wajib dipulihkan tidak kira apa pun jika mereka ingin kembali merasakan nikmat kemenangan.

Bulan Februari sememangnya cukup getir buat Liverpool, dengan musuh ketat Everton menanti, diikuti oleh Newcastle United yang mendambakan aksi Liga UCL buat sekian lama, serta tidak lupa juga Real Madrid di peringkat kalah mati UCL sendiri.

Selamat berjaya buat Liverpool dan semoga ada cahaya di hujung jalan mereka.