Ia mungkin diingati sebagai final yang paling banyak gelaran – daripada final buat peminat, final Tielemans, final Schmeichel hinggalah kepada final VAR – namun Leicester City tidak harus dinafikan saat gemilangnya… sekali lagi.

Kejayaan The Foxes menjulang Piala FA dengan kemenangan 1-0 ke atas Chelsea bersaksikan kira-kira 21,000 penonton buat kali pertama musim ini, terlakar dengan tinta emas dalam sejarahnya.

Dan ia tidak hanya berkisar kepada hakikat bahawa ia adalah kejuaraan sulungnya dalam kejohanan tertua berkenaan, sebaliknya kini turut mengangkat darjat kelab itu sebagai antara kelab utama England.



Hanya selewat 2016, Leicester menggamamkan ramai dengan kejayaan menakjubkan untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL), berlawanan dengan segala ramalan, buat julung-julung kalinya.

Namun, kejayaan itu tetap ada ‘harga yang mahal’ untuk dibayar. Gara-garanya juga, The Foxes terus bergelut untuk menempatkan diri dalam kelompok enam teratas dalam EPL.

Empat teratas sentiasa menjadi sasaran mereka, yang bagaimanapun, didapati sukar untuk mereka realisasikan dalam mendepani saingan kelab-kelab bangsawan yang berkemampuan untuk berbelanja besar bagi mendapatkan bakat-bakat terbaik.



Apa yang tinggal buat Leicester ialah kekal berangan-angan besar yang didorong oleh pemain-pemain yang bernafsu besar juga.

Cuma, perbezaan di antara kejayaan skuad kendalian Claudio Ranieri lima tahun lalu itu dan detik gemilang di Stadium Wembley awal pagi tadi ialah pencapaian terbaru ini tidak terlalu dirasakan sebagai satu “keajaiban” yang tidak mungkin mampu diulangi lagi.

Seperti disimpulkan oleh laman sportinglife.com, kejayaan dengan kebarangkalian 5000/1 oleh firma-firma pertaruhan pada penghujung musim 2015-16 itu – Leicester mengatasi Arsenal di tangga kedua dengan perbezaan 10 mata – adalah titik mula kepada sejarah moden The Foxes.

Untuk berlaku adil, mereka melakukannya ketika itu bukan atas faktor nasib kerana tiada pasukan mampu menghimpun 81 mata daripada 38 perlawanan liga semusim hasil 23 kemenangan, 12 seri dan hanya 3 kekalahan di samping 68-36 datipada segi jaringan/bolos hanya bersandarkan tuah.

Dalam pada itu, kejayaan berkenaan dianggap satu ‘dongeng’ hanya kerana kepercayaan ramai bahawa ia tidak akan berulang lagi secara abadi.

Namun, tidak buat Leicester – daripada pemiliknya yang memiliki King Power, sebuah kumpulan peruncitan perjalanan dan produk bebas cukai yang berpangkalan di Bangkok, barisan pengurusan, pemain dan penyokong – yang menaruh keyakinan ia menjadi titik mula kepada satu rentetan kejayaan berpanjangan.

Barangkali mereka belum cukup lengkap untuk menganggotai kelompok enam teratas secara konsisten tapi jika diandaikan wujud kelompok “tujuh terbaik”, maka Leicester kini harus salah satu daripadanya.

Dalam saingan EPL 2020-21 yang masih berbaki dua perlawanan, Brendan Rodgers telah memacu mereka ke tangga ketiga, mengatasi Chelsea di tangga keempat dengan perbezaan dua mata.

Jaringan gemilang Youri Tielemans awal pagi tadi – salah satu gol terbaik dalam final Piala FA – tentunya menjadi tajuk-tajuk utama tapi peningkatan The Foxes sejauh ini adalah bersandarkan prestasi menyeluruh pasukan di sebalik ketangkasan Kasper Schmeichel dan VAR yang menghindarkan kebangkitan lawan.



Pertemuan liga berikut Chelsea-Leicester, awal pagi Rabu ini, sekali lagi akan menjadi tumpuan tapi apa pun kesudahannya musim ini, Leicester tidak harus dipersalahkan jika terus memasang angan-angan besar.

Liga Juara-Juara – The Foxes sangat hampir di tangga kelima musim lalu -- kian menggamit mereka.