“Kami harus cuba naikkan semangat semua pemain untuk berhabis-habisan dalam perlawanan terakhir ini. Kami harus menang dahulu, kemudian lihat apa yang akan berlaku. Ia pernah berlaku dan boleh berulang lagi.”

Kata-kata pengurus Leeds, Sam Allardyce, itu menyimpulkan perjuangan mengelakkan relegasi serta melanjutkan tempoh tiga tahun mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Antara Everton, Leicester atau Leeds, siapa yang akan meraih slot terakhir dalam EPL musim depan?

Perjuangan mengelakkan relegasi nampaknya berlanjutan ke perlawanan terakhir dan mungkin kesudahannya diputuskan oleh perbezaan jaringan.

Dua pasukan dalam kalangan Everton, Leicester dan Leeds akan menyertai Southampton yang sudah pun tersingkir, dalam Liga Kejuaraan musim depan.

Laman web www.premierleague.com meninjau peluang setiap pasukan berkenaan dan apa yang diperlukan untuk akhirnya terselamat.

Cabaran buat Everton agak mudah – tundukkan Bournemouth di tempat sendiri dan status mereka dalam EPL akan terjamin.

Di atas kertas, kelab bimbingan Sean Dyche itu berkedudukan terkuat, dengan berjurang dua mata di atas tiga kelab terbawah dan akan beraksi di hadapan penyokong yang bingit di Goodison Park.

“Perkara utama bagi saya ialah mentaliti,” kata Dyche. “Kami mendapat satu mata yang ‘besar’ ketika seri 1-1 dengan Wolves dan kini segala-galanya masih dalam jangkauan kami.”

Sambil itu, Dean Smith berjanji yang Leicester akan turun dalam perlawanan wajib menang di tempat sendiri menentang West Ham dengan merisikokan apa saja dalam mereka tercari-cari keajaiban pada hari terakhir.

Keputusan seri 0-0 di Newcastle United, Isnin lalu, bermakna nasib skuad The Foxes bukan lagi dalam tangan mereka sendiri.

Untuk Leicester mengekalkan tempatnya, mereka perlu menewaskan West Ham sambil mengharapkan Everton seri atau kalah kepada Bournemouth.

Apa saja yang kurang daripada tiga mata tidak memadai buat The Foxes. Tapi jika Leicester menang dan Everton seri, kedua-dua kelab itu akan berkesudahan dengan jumlah mata yang sama dan Leicester akan kekal dalam EPL atas perbezaan jaringan.

“Kami perlu menang kerana itu akan menggandakan tekanan ke atas Everton, yang juga perlu menang jika kami menang,” kata Smith lagi.



Di sisi berbeza, Leeds turut perlu menang ketika melayani kunjungan Tottenham Hotspur untuk menghidupkan sebarang peluang. The Whites juga bergantung harap kepada kedua-dua Everton dan Leicester untuk seri atau kalah.

Jika Leeds menang sambil Leicester gagal berbuat yang sama, maka Leeds akan melonjak ke atas The Foxes.

Dan jika keputusan berkenaan digabungkan dengan kekalahan Everton, maka Leeds akan terselamat.

Sebaliknya, jika Leeds menang, Leicester kalah dan Everton pula seri, maka Leeds perlu menundukkan Spurs dengan perbezaan tiga gol. Jika itu diperoleh, Leeds akan menyamai Everton daripada segi mata daperbezaan jaringan serta kekal di atas kerana telah menjaringkan lebih banyak gol.

Allardyce menyimpulkan bahawa Leeds yang diambil alihnya memerlukan keajaiban untuk mengelakkan relegasi tapi berasakan ia adalah waktu yang tepat untuk berhadapan dengan Spurs yang sedang porak-peranda.

Semua kebarangkalian itu membawa kepada persaingan hari terakhir yang mendebarkan Ahad ini.