Minda anda harus berada di tahap tinggi dan tidak boleh mudah koyak kalau anda berdepan dengan Leandro Dos Santos.

Pemain Perak kelahiran Brazil itu sentiasa mempunyai 1,001 satu helah untuk memastikan pihak lawan nampak bersalah tetapi dalam masa yang sama, semangatnya boleh membangkitkan semangat juang rakan-rakannya.

Aksi separuh akhir Piala FA berdepan Pahang, Sabtu lalu, bukanlah kebetulan kepada perwatakan luar biasanya itu.

Seni gelapnya itu pernah menyaksikannya membantu Selangor dalam Piala Malaysia 2015 dan paling mencuri tumpuan, dalam aksi kemuncak Piala Malaysia 2018 ketika berdepan Terengganu apabila aksi nakalnya jelas terpapar ketika meraikan gol di depan pertahanan Terengganu, Igor Zonjic.

Pemain tengah, yang mula diperkenalkan dalam Liga Malaysia (Liga-M) menerusi pasukan T-Team pada 2014 itu cukup bijak, ini termasuklah ketika cuba mematahkan pergerakan Lazarus Kaimbi dalam pertemuan separuh akhir pertama Piala FA.

Ketika menghambat penyerang Tok Gajah itu, kakinya menyentuh bola sambil tangannya sempat dihayunkan ke perut lawan tetapi tindakan itu tidak dapat dihidu pegawai perlawanan.

Aksi itu bagaimanapun sudah cukup mencetuskan provokasi kerana ia berlaku betul-betul di depan kem Pahang, malah dia juga sengaja mengeluarkan bola dengan menyepak kuat ke arah bangku simpanan lawan sehingga mencetuskan kemarahan pegawai-pegawai pasukan Pahang.

Di sinilah keistimewaan Leandro yang pantas menghidu peluang itu untuk merosakkan suasana pasukan lawan.

Bagi mengelak kemenangan psikologi bekas tonggak Selangor itu, pertahanan juara bertahan, Herold Goulon, pula bertindak dengan memujinya karenahnya.

Melangkah ke Stadium Ipoh, Leandro seakan-akan sudah membuat kerja rumah.

Walaupun The Bos Gaurus pincang dengan penggantungan Nazirul Naim Che Hashim dan Ronaldo Henrique Silva selain pelawat berbekalkan agregat 1-3, pemain berusia 33 itu sekali lagi memainkan peranan besar.

Tambahan pula, minda Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dalam keadaan lemah berikutan melepaskan gol yang dicanang-canangkan bertaraf Puskas yang diledak oleh Goulon dalam masa kecederaan pertemuan pertama.

Insiden awal itu menyaksikan Dickson Nwakaeme dan Safuwan Baharuddin mengutip kad kuning sehingga memaksa kedua-dua tonggak import itu tidak terlalu agresif dalam baki sejam permainan.

Hadangan badannya dan pengalaman membaca permainan memungkinkannya untuk memerangkap lawan.

Satu insiden separuh masa pertama merupakan kisah klasik untuk melemahkan mental lawan apabila dia mengambil risiko dengan merembat bola ke arah kawasan sendiri untuk mengenai Kaimbi, seterusnya mendapatkan lontaran ke dalam sedangkan ketika itu bola bukanlah terlalu dekat dengan lawannya itu.

Walaupun tidaklah berlebihan seperti gulingan Neymar, ia satu pendekatan yang tidak sihat untuk diamalkan atas faktor merencatkan perlawanan sehinggakan sejurus tamat perlawanan, Mohamadou Sumareh, enggan berjabat tangan dengannya.

Apapun, Leandro adalah pemain yang bijak tetapi ia tindakan tidak sihat kerana kurang semangat kesukanan.

Ada dua pilihan sahaja ketika berdepan dengannya, sama ada anda terperangkap dengan permainan mindanya atau fokus sahaja kepada misi sebenar di atas padang.