Sikap berhati-hati jurulatih, Ismi Hissan Ismail, meletakkan Perak Bison di kelas tersendiri, baik dalam saingan Liga Perdana STL mahu pun dalam saingan lebih mencabar, iaitu Piala Juara-Juara STL yang sedang hangat berlangsung di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru.

Penyertaan Bison merebut gelaran Piala Juara-Juara musim ini agak berbeza kerana membawa status juara Liga Perdana yang selalunya dipegang Penang Black Panthers.

Bison lebih menyerlah dengan tumbangnya Singapore Lions, Kelantan Warriors dan pasukan jemputan, Korea Haechi sebelum mengesahkan slot ke separuh akhir dengan menundukkan Negeri Sembilan Antlers - walaupun Black Panthers melalui jalan lebih mudah dengan menumbangkan tiga lawan pertama dalam aksi straight set.

Mungkin persembahan menarik yang lebih memberi kesan kepada penonton atau keinginan membuak-buak untuk mengetahui sejauh mana Bison mampu pergi musim ini.

Namun, kualiti penting yang menyelamatkan Bison untuk masih mengekalkan rekod kemenangan dalam kempen kali ini adalah sikap Ismi yang sentiasa mengingatkan anak buahnya tentang kepentingan setiap perlawanan dengan tidak membeza-bezakan pasukan lawan daripada segi latar belakang mahu pun barisan bintang.

Selain itu, Ismi dilihat banyak mengamalkan toleransi tinggi dengan anak buahnya yang mungkin mengurangkan sedikit tekanan - tidak mengapa tewas dalam set, asalkan punya kesedaran untuk segera memperbaiki mana-mana kekurangan dan memastikan kemenangan tetap milik Bison.

Jadi, sama-sama kita nantikan kesudahan perjuangan Bison dalam misi membawa pulang kejuaraan berganda musim ini.