Kemarau kemenangan di laman sendiri buat Manchester United akhirnya berakhir apabila Marouane Fellaini menyelamatkan maruah United menerusi gol tunggal ke atas Young Boys dalam aksi terakhir Kumpulan H, Liga Juara-Juara Eropah.

Jaringan Fellaini pada masa kecederaan membawa tuah buat United untuk mara ke kelompok 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Juventus yang menundukkan Valencia, juga berada di tangga teratas Kumpulan H.

United pada mulanya meragui kemampuan mereka untuk merebut peluang kemenangan berdasarkan rekod sepanjang musim ini.

The Red Devils, mencatat rekod permainan selama 275 minit di Liga Juara-Juara tanpa sebarang gol di laman sendiri.

Selepas ini, United akan kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris bagi pertemuan menentang Southampton dan meneruskan perjuangan dalam Liga Juara-juara di Valencia pada Disember.

Sementara Young Boys yang telah tersingkir dalam saingan akan menentang Juventus dalam perlawanan terakhir di laman sendiri.