Temasya Sukan Sea ke-29 melabuhkan tirainya 30 Ogos lalu dengan upacara penutup yang cukup gemilang.

Selaku salah seorang tenaga kerja Astro Arena, penulis akui puas dan juga bangga dapat menyajikan laporan berita buat peminat sukan tempatan.

Walaupun penulis pernah ditugaskan membuat liputan temasya sukan lain di luar negara termasuk Olimpik Rio, KL2017 memberi cabaran tersendiri buat penulis dan ia juga akan sentiasa menjadi kenangan yang tidak mudah dilupakan.

Astro Arena berjaya memberikan liputan 16 jam sehari termasuk laporan berita buat tatapan peminat, sesuatu yang mungkin sukar dilakukan saluran atau stesen televisyen lain.

Penulis percaya ia berjaya dijayakan bukan hanya kerana komitmen kami selaku tenaga pekerja Astro Arena, tetapi juga kerana cinta dan hasrat kami untuk menaikkan martabat sukan negara.

Daripada segi pencapaian kontinjen, penulis boleh rumuskan ia adalah kejayaan luar biasa untuk muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas.

Daripada 145 emas itu, penulis turut berpeluang melaporkan beberapa kejayaan bersejarah atlit negara.

Antaranya ialah kejayaan penembak negara, Johnathan Wong meraih emas acara 10 Meter Air Pistol menewaskan juara Olimpik 2016 dari Vietnam, Hoang Xuan Vinh, kejayaan skuad ragbi meraih emas 7 sepasukan dan juga kejayaan skuad berbasikal lebuhraya meraih emas acara ujian masa berpasukan.

Penulis turut berbangga melihat peningkatan skuad futsal negara bimbingan Chiew Chun Yong yang menjelmakan peningkatan walaupun meraih perak.

Skuad negara hanya tumpas 4-3 di tangan pasukan pilihan Thailand dan ia membuktikan jurang tidak lagi jauh antara Malaysia dan gergasi futsal Asia itu.

Penulis percaya tidak salah jika pujian turut diberikan kepada skuad bola sepak bawah 22 tahun kendalian Datuk Ong Kim Swee walaupun tumpas 1-0 kepada Thailand hasil jaringan sendiri penjaga gol, Haziq Nadzli di final.

Memang benar, pedih untuk peminat menyaksikan barisan negara tewas sedemikian rupa dan skrip kekalahan mirip edisi final Sukan Sea 2001 apabila kita tewas kepada lawan sama.

Namun, jika diambil kira masalah pelepasan pemain serta kecederaan beberapa tonggak sebelum Sukan Sea bermula, kemaraan ke final tetap satu kejayaan.

Penulis turut tertarik dengan sokongan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberi sokongan kuat buat barisan negara pada malam perlawanan akhir.

Kekalahan di tangan Thailand juga, seharusnya mematangkan skuad muda negara ini di pusingan akhir AFC bawah 23 Tahun di China tahun depan.