Memanggil kesemua 14 orang Ketua Jurulatih Negeri PPBN (NFDP) untuk mengikuti Seminar Memperkasakan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) pada minggu ini, itu merupakan satu inisiatif yang baik dilakukan oleh pengurusan NFDP sebelum semua Akademi Tunas (AT) dan Pusat Latihan Daerah (PLD) di seluruh Negara memulakan latihan tidak lama lagi. Dengan adanya seminar ini, ia akan memberi ruang kepada KJRN setiap negeri itu untuk mengingat kembali dan menyegarkan minda mereka tentang hala tuju NFDP dan matlamat NFDP sebagaimana mengikut perancangan yang telah dilakukan sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia awal tahun ini.

Hampir lima bulan semua aktiviti bola sepak di 48 Akademi Tunas (AT) dan 61 Pusat Latihan Daerah (PLD) diberhentikan akibat COVID-19, sudah pastilah pihak pengurusan NFDP inginkan kesegaran minda dan mood program latihan yang ceria dan tersusun supaya objektif NFDP itu tercapai. Lima agenda yang disusun oleh pihak pengurusan di antaranya pemantauan pusat latihan, kriteria pemilihan pemain ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan pemantauan latihan mengikut DNA bola sepak negara selain melahirkan ‘Thinking Player’ dan penglibatan ibu bapa selain sembilan inisiatif baru di dalam program NFDP.

Inilah langkah terbaik daripada pandangan penulis dan perlu diberikan pujian kepada pengurusan NFDP secara keseluruhan yang bertindak pantas untuk menganjurkan seminar ini setelah kerajaan membenarkan pergerakan merentas negeri. Dengan memanggil KJRN ke seminar ini ia sungguh bertepatan sekali kerana tugasan KJRN ini begitu berat kerana mereka inilah yang akan menyampaikan maklumat-maklumat terkini dan memantau gerak kerja jurulatih-jurulatih AT selain terus berkomunikasi dengan pemegang taruh yang lain seperti KPM dan FA demi mencapai objektif dan matlamat NFDP untuk melahirkan pemain bola sepak berkualiti tinggi.

KJRN ini juga memainkan peranan dalam melahirkan jurulatih-jurulatih yang berkualiti dengan pemantauan yang dilakukan selain itu memastikan jurulatih-jurulatih ini dapat menerapkan falsafah dan DNA bola sepak Negara yang dirasmikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysla (FAM) ketika merasmikan hala tuju bola sepak Negara (F:30). Selain itu juga dapat membantu mencapai sasaran NFDP untuk melahirkan 100% jurulatih di AT mempunyai sijil kejurulatihan yang di iktiraf. Akhir sekali penulis ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua KJRN NFDP dan memastikan segala SOP yang telah tetapkan oleh kerajaan perlu patuhi oleh semua AT dan PLD demi keselamatan anak-anak dari dijangkiti COVID-19.