Banyak yang telah diperkatakan sepanjang minggu ini tetapi kisah persaraan jaguh perseorangan lelaki China, Lin Dan, setelah 20 tahun menyajikan aksi mengkagumkan dalam gelanggang.

Satu demi satu kisah keagungan diceritakan semula bagi merakamkan kejayaan dan detik indah pernah dikecapi jaguh Sukan Olimpik ini, khususnya perseteruan agung, dengan Datuk Lee Chong Wei, 40, pertemuan sejak 2004.

Bagaimanapun, dalam banyak-banyak perseorangan lelaki negara yang pernah berentap dengan Lin Dan di dalam gelanggang, Zulfadli Zulkifli (dibaca; kini dalam penggantungan) pernah membuatkan pemain China itu mati kutu seketika sehingga lempar raket, dan insiden itu pernah tular tahun lalu.

Imbau kembali ketika Kejohanan Seluruh England 2017, Zulfadli dijadualkan bertemu Lin Dan seawal pusingan pertama, yang merupakan penyandang juara kejohanan itu.

Banyak perkara menarik menjadi tumpuan menjelang pertemuan itu. Antaranya, ini merupakan pertemuan pertama mereka di Seluruh England, dengan Zulfadli baru pertama kali layak ke pusingan utama setelah dua percubaannya sebelum ini terkandas di pusingan kelayakan.





Meskipun penyandang juara, Lin Dan diletakkan sebagai pilihan keenam kejohanan, namun dilihat cerah untuk menyingkirkan Zulfadli yang turun sebagai 'underdog'.

Di hujung set pertama, tatkala Lin Dan sedang mendahului 18-9, ketika itulah Zulfadli memperagakan permainan yang mengujakan, dengan mengajak jaguh Sukan Olimpik itu hampir ke setiap penjuru gelanggang, ke belakang, ke depan dan kemudian ketepi sebelum membuatkan Lin Dan tersungkur, Zulfadli mudah mematikan bulu tangkis, untuk meraih mata ke-10.

Seraya itu, Lin Dan melemparkan raketnya ke tepi gelanggang, sehingga terkena jurukamera bertugas, sebagai aksi spontan kerana gagal menyambut kembali pukulan Zulfadli.

Lin Dan, bagaimanapun, bangkit dan meminta maaf lalu meneruskan permainan, akhirnya merakamkan kemenangan 21-11, 21-12, namun perjalanannya terkandas di peringkat separuh akhir di tangan rakan sengara, Shi Yuqi, yang kemudiannya menyaksikan Datuk Lee Chong Wei menumbangkan Yuqi di pentas final, untuk meraih kejuaraan Seluruh England yang keempat dan terakhir buat dirinya.