Tidak mengejutkan, pertalian pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, bersama The Red Devils kini hanya menunggu masa untuk berakhir.

Menurut laporan akhbar The Daily Mail, pengerusi kelab, Joel dan Avram Glazer, telah mengadakan mesyuarat tergempar bersama timbalan pengerusi, Ed Woodward, dan pengarah urusan, Richard Arnold, bagi membincangkan ‘bedilan’ mengejut yang diterima United di tangan Liverpool kelmarin.

Biarpun pihak mereka dahulunya memberikan sokongan penuh kepada Solskjaer, keputusan mereka nampaknya tidak lagi serupa di saat ini.

Menurut sumber yang sama, pihak lembaga kelab kini benar-benar terdesak untuk melakukan pemulihan demi melupakan tragedi yang berlaku.



Jika penyingkiran Solskjaer merupakan jalan yang mereka rasakan terbaik, tindakan itulah yang bakal diambil.

Menurut laporan akhbar The Sun pula, empat calon -- bekas pengurus Chelsea dan Inter, Antonio Conte, bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, pengurus Ajax, Erik Ten Hag dan juga pengurus Leicester, Brendan Rodgers -- sudah pun disenarai pendek sebagai pengganti.

Namun, daripada senarai itu, Conte diramalkan pilihan utama memandangkan dia mempunyai rekod teramat baik dalam membentuk pasukan untuk menjadi juara di samping memiliki pengalaman bekerja dalam Liga Perdana Inggeris sewaktu bersama Chelsea.

Ketika ini, pihak yang masih menyebelahi Solskjaer dan kekal sanggup untuk memberikan dia lebih banyak masa menyelamatkan United tidaklah ramai manakala seruan untuk mendapatkan pengganti jauh lebih banyak.

Bahkan ramai pemain senior United sendiri dikatakan sudah tidak lagi gembira.



Kata-kata penjaga gol, David De Gea, sewaktu temu bual pasca perlawanan kelmarin menggambarkan segalanya: "Sakit sungguh saya rasakan. Kami tidak cukup bagus, kami bolos gol mudah, melakukan kesilapan bagaikan budak sekolah.

"Saya benar-benar harus memohon maaf kepada penyokong kami."

Ini hakikatnya ketika ini -- 1,041 hari selepas Solskjaer menggalas jawatan sebagai pengendali United.

Selepas tempoh itu, seorang pengurus seharusnya tidak lagi mengharapkan ada perubahan dalam pasukan, tidak juga mengendalikan pasukan yang dalam proses untuk berubah.

Perubahan sepatutnya sudah jelas nyata kelihatan, malangnya satu-satunya perubahan United adalah perubahan ke arah belakang. United memerlukan tampuk baru dengan kadar segera.

Kita alihkan fokus pula kepada Conte.

Perubahan apakah yang mampu Conte bawa jika benar dia akan diberikan tanggungjawab untuk memimpin United?

Conte mula memegang jawatan sebagai pengurus kelab ternama sewaktu menyertai Juventus pada 2011, kelab yang ditaburkan bakti sebagai pemain sewaktu zaman mudanya.

Dia meletakkan jawatan untuk menjadi pengurus pasukan kebangsaan Itali tiga tahun kemudian setelah Juventus menjadi juara liga Serie A selama tiga tahun berturut-turut.

Dalam 25 perlawanannya mengemudi pasukan kebangsaan Itali, skuad Azzurri mencatatkan kemenangan sebanyak 14 kali dan hanya tewas empat kali.

Sebelum Conte tiba ke Chelsea pada 2016, pasukan itu sekadar mampu menduduki tangga ke-10 liga pada musim sebelumnya.

Di bawah kendaliannya, Chelsea menjadi juara liga pada musim 2016-17 dan menjulang trofi Piala FA pada musim berikutnya.

Pasukan Chelsea tersebut mencatatkan kemenangan sebanyak 13 kali berturut-turut, menjaringkan 85 gol dalam 38 perlawanan dan meraih kemenangan sebanyak 30 kali dalam satu musim, rekod paling tinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Apabila Conte kembali ke Itali untuk bersama Inter Milan, sekali lagi pasukannya menjadi juara selepas setahun di bawah pengawasannya.

Conte adalah seorang pengurus yang tahu apa perlu dilakukan demi mengubah nasib pasukan. Dia tidak lembut seperti Solskjaer dan tidak akan sesekali menerima kekalahan dengan mudah.

Jika United benar-benar nekad dan mendahagakan perubahan, apa lagi yang harus ditunggu?