Kegagalan penjaga gol Manchester United, David De Gea, menyempurnakan sepakannya dalam penentuan sepakan penalti ketika perlawanan akhir Liga Europa telah menobatkan Villarreal sebagai juara buat kali keempat.

Walaupun sepanjang perlawanan akhir itu boleh dikatakan Man United menguasai permainan, namun Man United masih gagal mengambil kesempatan di atas peluang yang dimiliki. Inilah yang dikatakan nasib tidak menyebelahi mereka sementara Villarreal bijak mengunakan kesempatan dan kelebihan yang dimiliki pemain-pemainnya terutama dalam mengambil sepakan penalti.

Lihat sahaja begitu tenang pemain-pemain Villarreal mengambil sepakan penalti walaupun berada dalam tekanan.

Itulah kelebihan dan kekuatan yang ada pada anak buah Unai Emery, bukan mudah untuk mengambil sepakan penalti terutama dalam perlawanan akhir kerana seseorang pemain itu perlu bijak mengawal emosinya dan perlu membuat satu keputusan yang tepat.

Sikap tenang pemain-pemain Villarreal itu boleh dilihat sepanjang perlawanan melalui raut wajah mereka, khususnya ketika kubu pertahanan mereka diasak oleh pemain-pemain hadapan Man United seperti Edison Cavani,Marcus Rashford, Mason Greenwood dan Bruno Fernandes.




Sikap dan karakter tenang pemain-pemain Villarreal itu telah mereka perolehi daripada pengurus mereka sendiri Emery yang sentiasa menampilkan watak tenang baik, ketika di tepi padang mahupun ketika perlawanan dan ketika sidang media.

Walaupun dalam tertekan, Emery tetap kelihatan tenang mengawal emosinya seperti mana ketika Villarreal diasak hebat oleh pemain-pemain Man United selepas jaringan penyamaan berjaya dilakukan Endison Cavani.

Sikap dan cara Emery mengawal tekanan dengan tenang itulah yang perlu dicontohi dan dipelajari oleh semua pencinta-pencinta bola sepak terutama kepada pemain dan jurulatih tempatan.

Dengan personalitinya itu ia telah berjaya memikat hati pemain-pemainnya untuk beraksi dengan cemerlang. Ia telah dibuktikan oleh pemain-pemainnya sehingga berjaya menjulang Piala Liga UEFA dan dengan sikap tenang mereka itu membawa mereka berpesta.