Kejayaan tetap tidak terjamin meskipun dana berjuta-juta dibelanjakan.

Harus itu menjadi pengajaran buat Paris Saint-Germain (PSG) setelah menanggung kekalahan 1-3 yang cukup perit di tangan Real Madrid untuk agregat 2-3 dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara UEFA (UCL), awal pagi tadi.

Selepas satu perjuangan tanpa hasil musim lalu, PSG memulakan musim ini dengan pembelian bintang-bintang ternama -- Achraf Hakimi, Gianluigi Donnarumma, Georginio Wijnaldum, Sergio Ramos dan paling utama, Lionel Messi demi merampas kembali takhta juara Ligue 1 dan mensasarkan trofi UCL yang lama diidam-idamkan.

Buat sejam lamanya di gelanggang Santiago Bernabeu milik Real Madrid, impian itu dilihat berada di landasan tepat untuk setapak lebih hampir menjadi kenyataan.

Malang sekali, ia lebur dalam tempoh 17 minit sahaja, di tangan seorang wira bernama Karim Benzema.

Selama 60 minit, Real Madrid diseksa oleh kelincahan Kylian Mbappe yang tidak henti-henti menyerang di bahagian sayap kiri dan menambah satu lagi gol untuk PSG bagi melebarkan jurang yang dibina sejak perlawanan peringkat pertama di Paris dua minggu lalu.





Namun, minit ke-61 menjadi titik perubahan segala-galanya.

Dalam satu temu bual menerusi saluran BT Sport bersama Steve McManaman, bekas pemain kebangsaan England yang turut pernah menyarung jersi Real Madrid, nasib yang melanda PSG bukan sahaja tidak mengejutkannya, malah sudah dijangka.

"Mereka yang pernah bersama dengan Madrid memang sudah tahu bahawa PSG akan terkulai layu apabila berhadapan dengan tekanan yang teramat tinggi.

"PSG tidak terurus dan paling penting sekali, tidak mempunyai pendorong.

"Apabila keadaan menjadi getir, semua pemain hanya meneruskan bermain mengikut rentak sendiri dan bukannya mengikut arahan seorang ketua."

Gol pertama Benzema berpunca daripada kesilapan penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma, tetapi gol-gol yang berikutnya dihasilkan daripada keazaman dan kepercayaan diri yang amat tinggi.

Menurut ulasan bekas pemain Manchester United, Rio Ferdinand, Benzema memulakan separuh masa kedua dengan mentaliti 'Bukan Mbappe seorang sahaja yang bakal menjadi tumpuan semua orang pada malam ini.'

Selepas gol kedua dijaringkan, Benzema hanya memerlukan tempoh kurang daripada seminit untuk menghasilkan gol kemenangan berikutnya.





Ferdinand turut menyokong pendapat McManaman bahawa kegagalan PSG berpunca daripada ketiadaan peranan seorang ketua yang mampu menenangkan pemain dan membuatkan mereka fokus terhadap matlamat yang ditujui.

Kesemua kritikan ini menjurus semula kepada masalah utama yang membelenggu PSG dan telah dibicarakan berkali-kali -- ego pemain-pemainnya.

Trio Neymar, Messi dan Mbappe memerlukan seorang pengurus dengan kaliber teramat tinggi untuk diuruskan -- seseorang yang cukup tegas untuk berkata 'Saya tahu kamu adalah seorang bintang, tetapi apa yang diperlukan oleh pasukan ini adalah pemain yang berusaha sepanjang 90 minit untuk menang.'

Pihak media nampaknya sebulat suara bersetuju bahawa Mauricio Pochettino bukanlah pengurus dengan keupayaan untuk berbuat demikian.

Masa depan Pochettino bersama PSG digembar-gemburkan bergantung kepada sejauh mana PSG mampu mencapai kejayaan musim ini, dan kekalahan di tangan Madrid ini hampir pasti menandakan pengakhirannya bersama kelab Perancis itu.
Usai sudah perjalanan PSG di kancah Eropah musim ini manakala seluruh dunia menanti-nantikan langkah mereka yang seterusnya.

Siapa lagi yang harus dibawa masuk? Berapa banyak lagi dana yang harus dibelanjakan? Mbappe kekal atau pergi?

Jawapannya belum pasti – sama seperti ketidaktentuan nasib PSG sendiri.