Dua minggu lalu, saya berkunjung ke kota Astana, atau nama barunya - Nur Sultan - di Kazakhstan, untuk menjadi saksi saingan Divisyen 1, Kejohanan Hoki Ais Dunia, di bandaraya itu.

Bukan hanya pendedahan aksi tertinggi hoki ais mencipta rasa teruja, tetapi saya pulang selepas lima hari di kota kedua terbesar di Kazakhstan itu dengan kekaguman terhadap aura optimis barisan pentadbir sukan negara itu demi mengejar gemilang di pentas sukan tertinggi.

Untuk rekod, Kazakhstan mengungguli saingan enam negara di Divisyen 1 Kejohanan Hoki Ais Dunia itu untuk layak bersama-sama barisan gergasi sukan itu seperti Amerika Syarikat, Russia dan Kanada di peringkat Kumpulan Dunia.



Namun, lebih menarik perhatian saya ialah sikap optimis negara dihuni tidak sampai 19 juta penduduk itu untuk sentiasa berupaya meraih kilauan emas dalam temasya sukan terulung dunia, Sukan Olimpik.

Sejak mencapai kemerdekaan daripada Soviet Union pada 16 Disember 1991, Kazakhstan sudah menyertai enam edisi Sukan Olimpik sebagai ‘negara merdeka’ dan dalam tempoh singkat itu, meraih 16 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Bandingkan dengan Malaysia yang sudah 14 kali ke Sukan Olimpik dan masih memburu kilauan emas pertama selepas hanya terdaya memiliki tujuh pingat perak dan empat gangsa setakat ini.

Bagaimana mereka melakukannya?

“Kami fokuskan kepada sukan utama yang berpotensi meraih pingat. Kami berikan segala bantuan dan pantau prestasi atlet sasaran demi memastikan mereka capai objektif ditetapkan,” tegas Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Latihan untuk Kementerian Belia dan Sukan Kazakhstan, Serik Sapiyev.

Sukan yang ditetapkan itu? Tinju, angkat berat, gusti greco roman dan olahraga.

Bunyinya seperti sistem ‘tiering’ yang pernah diwujudkan Majlis Sukan Negara (MSN) tetapi dipinggirkan setelah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, lebih cenderung menghidupkan kembali Program Podium.

Dengan timbulnya kembali isu atlet karate-do, Syakilla Saini – atlet Program Podium – yang gagal patuh program latihan dan mungkin disingkirkan, ada baiknya menteri dan pegawainya kembali menyemak pendekatan ‘manjakan atlet’ yang menjejaskan keberkesanan program sedia ada.

Mungkin juga bagus untuk ambil kata-kata Sapiyev – pemenang emas tinju welterweight Sukan Olimpik London 2012 dan dua kali mengungguli gelaran dunia – sebagai panduan.

“Saya rasa susah dan perit ketika masih jadi atlet. Waktu itu bukan detik meminta-minta, tetapi tempoh berkorban. Hanya setelah meraih kejayaan, barulah saya berhak menikmati kesenangan,” kongsinya.

Kerana itu, Sapiyev ada cita-cita mahu membawa Sukan Olimpik ke Kazakhstan pada edisi 2040.

Kita? Sudah setahun berlalu, masih wajarkah untuk kita ‘tepuk dada, tanya selera, bro?’.