Sepanjang minggu ini, kisah bekas penyerang kebangsaan Khalid Jamlus yang menjual koleksi barangan peribadinya demi kelangsungan kehidupan seharian menjadi viral di laman sosial.

Ia turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mengadakan pertemuan dengan Khalid pada Rabu dalam usaha membantu bekas pemain Perak, Selangor dan Kelantan itu.

Penulis berharap Khalid akan menggunakan sebaik mungkin apa saja bantuan yang diterima daripada Wan Fayhsal dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) demi masa depannya selepas ini.

Sebenarnya kesusahan bekas pemain bola sepak bukan satu perkara baru dalam arena bola sepak tempatan.

Selama lebih sedekad penulis membuat liputan bola sepak, penulis menjadi saksi kepada perjalanan karier ramai pemain berprofil tinggi.

Ada yang merancang dengan baik kerjaya mereka apabila menuju umur persaraan dan tidak kurang juga yang terpaksa bergelut meneruskan kelansungan hidup selepas tidak bergelar pemain.

Ketika bergelar pemain, mereka disanjung peminat tetapi sebaik bersara mereka kian dilupakan.

Hakikatnya tidak semua pemain mampu membina kerjaya sebagai seorang jurulatih selepas bersara.

Bak kata seorang bekas pemajn yang kini berjaya sebagai jurulatih, “Nak jadi coach kena kasi buka jersi tu”.

Maksudnya adalah seseorang bekas pemain khususnya yang mempunyai nama besar ketika bermain, perlu mula dari bawah jika mahu berjaya dan buang keegoan ketika bergelar bintang dalam pasukan.

Kerana itu terdapat ramai bekas pemain yang hebat ketika bermain tetapi gagal sebagai seorang jurulatih.

Perjalanan buat seorang bekas pemain untuk menjadi jurulatih berjaya setaraf Datuk K.Rajagobal, B Satianathan dan Tan Cheng Hoe juga cukup mencabar.

Ia memerlukan dedikasi, komitmen dan semangat tinggi untuk berjaya kerana gaji permulaan seorang jurulatih yang sekadar mempunyai lesen C atau B tidak begitu tinggi.

Untuk mempunyai kelayakan lesen A dan profesional AFC juga mempunyai syarat-syarat tertentu.

Kerana itu kebanyakan bekas pemain yang berjaya sebagai jurulatih, adalah mereka yang cekal, ada keazaman tinggi serta disiplin.

Jika tidak beralih ke bidang kejurulatihan, seseorang pemain itu perlu mempunyai perancangan jelas dalam merancang kehidupannya.

Hari ini terdapat beberapa pemain juga yang mempunyai perniagaan sendiri ketika masih bergelar pemain dan ini adalah satu pendekatan baik demi masa depan mereka.

Bukan senang nak jadi senang, jadi buat pemain-pemain yang kini mendapat bayaran gaji tinggi, rancang kewangan dengan baik demi masa depan anda sendiri.

Bagi penulis, seseorang pemain itu mempunyai beberapa pilihan juga dalam meneruskan kehidupan selepas bersara.

Jika tidak menjadi jurulatih atau menceburi perniagaan, mereka boleh juga mencuba kerjaya sebagai seorang ejen bola sepak.

Di Eropah, ramai juga bekas pemain yang menjadi ejen bola sepak berlesen yang berjaya tetapi di Malaysia, penulis tidak dengar lagi bekas pemain yang berjaya sebagai seorang ejen.

Jadi peluang itu ada sebenarnya buat pemain, ia bergantung kepada seseorang pemain itu untuk merancang dengan baik atau tidak perjalanan kariernya selepas bersara.

Karier profesional sebagai pemain tidak panjang, secara purata sekitar 15 atau 16 tahun dan itu pun jika tidak terbatas dengan masalah kecederaan.

Kerana itu, penting buat pemain merancang kehidupan dan kewangan dengan baik apabila bersara.