Itali menjadi pasukan pertama layak ke pusingan 16 terakhir Euro 2020 semalam dan jika dilihat pada sejarah perlawanan mereka, perkara ini sememangnya tidak mengejutkan.

'The Azzurri' telah menjaringkan sebanyak 59 gol dalam 19 perlawanan yang lepas dan hanya dibolosi sebanyak tiga kali.

Mereka juga tidak mengalami kekalahan sebanyak 29 kali berturut-turut setakat ini, maka tidak hairanlah pemain-pemainnya dipenuhi dengan semangat membara.

Rekod ini pastinya cukup memberangsangkan, namun persoalan yang paling penting adalah sejauh manakah Itali mampu mara dalam pertandingan ini?

Dalam temu bual bersama BBC Radio 5 Live, bekas pemain tengah Everton, Leon Osman, memberikan pendapatnya.

"Itali menguasai kedua-dua perlawanan mereka dari mula sehinggalah ke wisel penamat dibunyikan.

"Dari segi serangan, mereka sememangnya cukup mantap.

"Namun, jika diteliti, mereka masih belum berhadapan dengan negara-negara lain yang lebih kuat secara keseluruhannya, mereka masih belum lagi diuji.”

Bekas kapten Manchester United dan Ireland, Roy Keane, turut memuji skuad Azzurri ini.

"Apa yang harus kita perhatikan adalah tindakan pemain Itali sewaktu mereka kehilangan bola.

"Mereka menghambat bola dan menekan pihak lawan sepanjang masa sehinggalah berjaya memperoleh bola semula.

"Saya cukup kagum dengan usaha serta kerja keras kesemua pemain mereka yang tidak mengenali erti kepenatan.

"Kedahagaan mereka untuk mencapai kemenangan jelas kelihatan, dan apabila satu pasukan dipenuhi dengan semangat sebegini, mereka pastinya akan dapat melangkah jauh."

Biarpun Itali kini berada di puncak kumpulan, pengurus The Azzurri, Roberto Mancini, tetap kekal berwaspada dan merendah diri.



"Dalam pertandingan ini, Perancis, Portugal dan Belgium turut bertanding.

"Perancis adalah juara dunia, Portugal adalah juara Eropah, Belgium pula adalah negara yang menduduki tempat pertama dalam senarai negara bola sepak terbaik dunia ketika ini.

"Negara-negara ini sepatutnya menjadi pilihan utama untuk menjadi juara kerana pasukan mereka sudah dipupuk selama bertahun-tahun dan jauh lebih maju daripada kami dari aspek tersebut.

"Biarpun kami mencapai kemenangan selesa dalam dua perlawanan yang lepas, harus diingat bahawa tidak ada satu pun perlawanan yang mudah.

"Saya cuma bersyukur kerana diberikan pemain yang begitu mencintai sukan ini, pemain yang menikmati setiap detik perlawanan dan tidak gentar untuk mengambil risiko.

"Perjalanan kami masih panjang," ujar bekas pengurus Manchester City dan Inter Milan ini.

Masih terlalu awal untuk ditentukan sama ada Itali akan dapat terus beraksi cemerlang, namun kesemua pemain mereka sememangnya menunjukkan persembahan yang cukup mantap setakat ini.

Penyerang utama, Ciro Immobile, telah menyumbat dua gol dan melakukan satu bantuan jaringan setakat ini .

Pemain tengah yang baru berusia 23 tahun, Manuel Locatelli, menunjukkan bakat terpendam dengan menjadi pemain terbaik sewaktu menentang Switzerland semalam. Dia juga telah menjaringkan dua gol.



Satu-satunya aspek negatif adalah pemain pertahanan veteran, Giorgio Chiellini, terpaksa dikeluarkan atas faktor kecederaan dan ketiadaannya mungkin memberikan impak terhadap kekebalan kubu Itali dalam perlawanan-perlawanan akan datang.

Positif, memberangsangkan, efektif, begitulah kata-kata yang selayaknya digunakan untuk melabelkan persembahan Itali ketika ini, namun tiada kesimpulan muktamad yang seharusnya dibuat sehinggalah kita menyaksikan bagaimana Itali menentang negara-negara lain yang setara dengannya daripada segi kualiti keseluruhan.