Jendela perpindahan musim panas bagi tahun 2021 tampak tidak memberikan sesuatu yang besar buat sesetengah kelab elit di Eropah. Apa yang mengejutkan, situasi itu berlaku dalam kem yang sekian lama mudah menabur wang bagi mendapatkan khidmat baru, Real Madrid.

Tindakan melepaskan dua tonggak pertahanan, Raphael Varane dan Sergio Ramos, masing-masing ke Manchester United Paris Saint-Germain (PSG) hanya digantikan dengan kehadiran pemenang 10 kejuaraan Bundesliga daripada Bayern Munich, David Alaba. Mungkin menguntungkan Los Blancos kerana Alaba hadir tanpa sebarang yuran perpindahan, namun masih memerlukan modal sekitar GBP376,000 (RM2.1 juta) setiap minggu untuk bayaran gaji.

Bagi musim ini, kedatangan Alaba ke Santiago Bernabeu menjadikannya satu-satunya nama baru buat pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu memandangkan Luka Jovic (Eintracht Frankfurt), Jesus Vallejo (Granada), Dani Ceballos (Arsenal) dan Gareth Bale (Tottenham Hotspur) menamatkan tempoh pinjaman bagi kempen 2020-21. Langkah mengehadkan pengeluaran wang kelab itu dikatakan hanya bermotifkan satu objektif, mahu menyediakan dana cukup bagi menampung kehadiran bintang PSG, Kylian Mbappe, musim panas depan.

Mbappe – yang kini memasuki tempoh tahun terakhir dalam kontrak sedia ada bersama Les Parisiens – sebelum ini pernah menyatakan keinginan sejak kecil mahu menyarung jersi putih Madrid tetapi kemahuan itu disuarakan sebelum pemilik PSG, Nasser Al-Khelaifi, mendapatkan khidmatnya dengan nilai GBP130.5 juta (RM743 juta) daripada AS Monaco, empat tahun lalu.



Bagaimanapun, babak drama dan permainan pengaruh Los Blancos diketuai Presiden, Florentino Perez, telah dimulakan sejak minggu lalu.

Ketika PSG enak dibuai keasyikan hadirnya nama Lionel Messi ke dalam skuad serta menikmati wang hasil penjualan jersi pemenang enam kali Ballon d’Or itu, secara tiba-tiba satu pendedahan dibuat oleh wartawan El Chiringuito, Josep Pedrerol, bahawa bidaan pertama Madrid untuk membawa masuk Mbappe telah dibuat. Tawaran awal bernilai GBP137 juta (RM780 juta) itu turut disahkan oleh wartawan Goal Sepanyol yang berpangkalan di kota Madrid, Mario Cortegana, tetapi ia pantas ditolak PSG, menyifatkannya sebagai satu nilai yang ‘kurang ajar’.

Tidak berputus asa, Perez sekali lagi mencuba nasib, kali ini dengan tanda harga GBP154.4 juta (RM879 juta) tetapi masih ditolak, memetik kenyataan dikeluarkan oleh pengendali PSG, Mauricio Pochettino, kepada Agence France-Presse (AFP), menegaskan bahawa Mbappe merupakan pemain penting di dunia ketika ini dan dapat mengekalkannya di Paris merupakan satu anugerah.

Berang dua kali ‘dimalukan’, Perez menggunakan pendekatan lain, terus berhubung dengan tonggak tengah Rennes yang menjadi buruan PSG sejak tahun lalu, Eduardo Camavinga, dan hanya memerlukan tempoh kurang dari tiga hari untuk mencapai persetujuan sekaligus mengesahkan khidmat pemain muda sensasi Perancis itu. Jadi, bagaimana dengan Mbappe?



Sehingga kini, pemenang Piala Dunia 2018 itu telah menolak enam tawaran kontrak lanjutan dan sekiranya dia tetap dengan pendirian itu sehingga Januari 2022, bermakna Mbappe berupaya berhijrah secara percuma ke pasukan lain pada 1 Julai depan.

Berdasarkan situasi yang berlaku, kelebihan jelas berpihak Los Blancos, merujuk kepada apa yang didedahkan wartawan terkenal bola sepak dari Itali, Fabrizio Romano, menerusi ciapan di laman Twitter: “Mbappe mahu ke Real Madrid, tidak kira musim panas ini atau tahun depan. Dia mahu menjadikan impiannya satu realiti.”

Hanya masa akan menentukan masa depan Mbappe tetapi harus diingat, Los Blancos sudah pun memenangi satu perlumbaan dengan PSG, ‘mencuri’ khidmat Camavinga tanpa sebarang khabar angin selama berbulan lamanya. Jadi, hanya Mbappe bakal menjadi fokus Madrid untuk tempoh setahun dari sekarang.

Mungkin Nasser dikenali dengan wang yang banyak tetapi hakikatnya, ini semua permainan Perez.