Seperti diketahui ramai, bakat tidak pernah tandus di Jerman. Kumpulan bakat untuk Joachim Loew membuat pilihan diserap dalam skuad kebangsaan sangat luas. Walaupun kempen Piala Dunia 2018 Jerman berakhir dengan mimpi ngeri, penyokong Die Mannschaft harus kekal optimis.

Generasi baru yang bakal ditunjangi Timo Werner, Leroy Sane, Jonathan Tah, Julian Brandt dan ramai lagi sebagai pemain berbakat, masih belum mencapai tahap terbaik. Jika ini masih belum mencukupi, Bundesliga sering kali menghadirkan barisan pemain berbakat tahun demi tahun.

Ketika Jadon Sancho menyerlah bersama Borussia Jerman, Kai Havertz merupakan pemain termuda Bayer Leverkusen yang meledak gol dalam saingan Bundesliga. Daripada kelab yang berjaya melahirkan pemain seperti Michael Ballack, Toni Kroos and Arturo Vidal, ia semestinya harus diberikan pujian.

Pada usia 19 tahun, dia telah tampil beraksi selama tiga musim di pentas tertinggi di Jerman. Musim ini, Havertz merupakan antara pemain berpengaruh yang memastikan Leverkusen mengakhiri saingan di tempat keempat liga, meledak 17 gol dan tiga bantuan jaringan selepas tampil beraksi dalam 34 perlawanan.

Sejumlah 17 gol merupakan bilangan yang tinggi buat seorang pemain tengah -- lebih satu jaringan daripada bintang Manchester United, Paul Pogba.

Terma yang bersesuaian untuk melabel pemain muda itu adalah serba boleh. Dia boleh turun di mana-mana posisi di bahagian tengah. Bukan sahaja memiliki sentuhan penyudah yang tajam tetapi turut bijak mencari ruang buat rakan sepasukannya ketika melakukan serangan.

Kualiti hantaran yang dimiliki Havertz menyaksikan dirinya cemerlang beraksi sebagai pemain nombor 10, mudah mencari ruang dan menghasilkan peluang buat penyerang dan pemain sayap untuk menembusi pertahanan lawan. Kebolehannya membaca permainan menjadikan dirinya lebih istimewa.

Musim 2018-19, Havertz menghuni tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak saingan Bundesliga. Sebagai pemain tengah dalam senarai penjaring terbanyak, dia hanya berada di belakang Robert Lewandowksi (22) dan Paco Alcacer (18) -- ia merupakan pencapaian yang luar biasa.

Jika dia dapat mengekalkan tahap permainannya bagi saingan musim depan, dia akan menghadirkan lebih banyak keputusan positif bersama Leverkusen di samping menarik minat sebilangan besar kuasa besar Eropah, namun Bayern Munich bakal menjadi destinasi utama kerana itulah perkara yang sering berlaku kepada setiap pemain kelahiran Jerman.

Ringkasnya, Jerman sudah memiliki permata baru, seorang pemain muda yang sedia beraksi di bahagian tengah di samping mampu menjadi tunjang utama mana-mana pasukan yang menandatanganinya.

Buat penyokong bola sepak Jerman, tiada apa perlu dirisaukan, hanya masa yang diperlukan untuk membentuk barisan pemain ini sebelum kembali menggegar pentas dunia.