Tindakan kapten dan tonggak tengah Johor Darul Takzim (JDT), Hariss Harun meinggalkan juara bertahan Liga Super itu Isnin lalu, boleh dikatakan satu perkhabaran yang mengejutkan.

Terdapat kenalan yang terdiri daripada bekas rakan sepasukan Hariss memaklumkan penulis, pemain Singapura itu mengambil keputusan itu kerana mahu kembali ke negaranya dan berada dekat disamping keluarganya.

Mungkin juga dengan situasi kita berdepan COVID-19 menyukarkan Hariss untuk berulang alik ke Singapura bersama keluarga dan kelab Singapura, Lions City Sailors, juga sudah mengumumkan Harris sah menyertai pasukan itu untuk saingan Liga Premier Singapura musim ini.

Apa pun faktor yang mendorong Hariss meninggalkan JDT, dia akan sentiasa dikenang sebagai antara atau mungkin juga pemain terbaik Singapura yang pernah mewarnai kancah bola sepak Malaysia kerana dia sudah menjuarai kesemua pertandingan dalam Liga M.


Hariss Harun's JDT Farewell Dinner #JDT #JDTFamily #LuaskanKuasamuJohor #JDTForAll

Posted by JOHOR Southern Tigers on Monday, May 10, 2021


Seorang pemain tengah bertahan, Hariss juga seorang pemain yang cukup berdisiplin, mempunyai perwatakan sebagai seorang ketua sama ada di JDT atau pun skuad kebangsaan Singapura.

Penulis kerap menemu bual Hariss ketika membuat liputan skuad JDT, Lions XI dan juga Singapura ketika bergelar wartawan sebelum ini.

Ketika membuat liputan final Piala AFC 2015 di Tajikistan, penulis duduk bersebelahan dengan Hariss dalam penerbangan sambungan dari Dubai ke Dushanbe.

Ketika itu, penulis berpeluang mengenali lebih dekat pemain yang melakukan penampilan sulung di pentas antarabangsa bersama Singapura seawal usia 16 tahun ini.

Antara perbualan kami ketika itu adalah mengenai perancangan jangka panjang pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, buat Harimau Selatan dan ketika itu Hariss berkata kepada penulis tidak mustahil JDT akan ke saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) jika segala perancangan berjaya dicapai.

Ternyata apa yang kami bincangkan itu menjadi kenyataan apabila JDT layak beraksi dalam ACL sejak musim 2019 dan Hariss menjadi pemain pertama negaranya untuk mengetuai sebuah kelab Malaysia di pertandingan elit Asia itu.

Penulis juga menyifatkan Hariss seorang yang profesional apabila media hendak menemu ramahnya dan sentiasa memberi jawapan yang matang kepada mana-mana wartawan.

Terima kasih Hariss kerana mewarnai kancah Liga Malaysia sejak 2012 sehingga musim ini, anda akan sentiasa dihormati baik rakan sepasukan dan lawan kerana perwatakan anda di dalam dan luar padang.