Kehadiran Kim Pan-gon dan pasukan kejurulatihannya mengendalikan skuad Harimau Malaya telah menampakkan sedikit tanda positif daripada segi pemikiran dan keinginan untuk memburu kemenangan.

Ini telah ditampilkan semasa Harimau Malaya menewaskan Filipina di kejohanan Siri Tiga Negara di Singapura malam tadi.

Perubahan yang dibawa Pan-gon ini telah menghadirkan senyuman kepada penyokong-penyokong Harimau Malaya apabila pemain-pemain negara lebih bernafsu untuk bermain bola sepak. Ia boleh dilihat dari awal permainan di mana pemain negara tidak menunggu masa yang lama untuk menekan lawan dan menguasai permainan.

Apa yang menarik bagi penulis apabila Kim Pan-gon mengunakan formasi yang selari dengan DNA dan falsafah bola sepak Malaysia yang diilhamkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semasa memperkenalkan Peta Hala Tuju Bolasepak Malaysia (F:30) pada 2018.




Menggunakan formasi 4-3-3 dan meletakkan pemain-pemain yang mempunyai kekuatan individu mengikut posisi mereka telah membawa kekuatan pada Harimau Malaya contoh seperti Akhyar Rahsid, Arif Aiman, Corbin Ong, Dion Cools dan Safiq Rahim serta ramai lagi. Lihat sahaja bagaimana Pan-gan memilih pemain-pemain yang mempunyai mentaliti menyerang dan bertahan di posisi yang betul berdasarkan kemampuan dan kekuatan diri mereka.

Paling mengembirakan penulis juga apabila taktikal bertahan Harimau Malaya lebih berdisiplin,kemas, sangat kerjasama serta begitu padat sehingga melihat rantaian yang sukar dipisahkan seperti pemain pertahanan kiri dan kanan akan masuk kedalam mengecilkan ruang begitu juga dengan pemain sayap kiri dan kanan serta penyerang akan membantu bertahan.

Ia menyukarkan pihak lawan untuk mendominasi permainan, itu yang terjadi pada Filipina semalam. Daripada kekuatan ini juga membolehkan Harimau Malaya mampu melakukan transisi pantas untuk memerangkap lawan dan dengan gerakkan itu juga Malaysia berjaya menghasilkan jaringan pantas.

Kualiti beginilah yang ditunggu-tunggu penyokong bola sepak negara yang inginkan pemain-pemain Harimau Malaya dapat mengikut falsafah bola sepak Malaysia yang lebih moden dan mengikut perubahan masa serta mampu memberi saingan pada pasukan yang sudah maju kehadapan.

Sekiranya Kim Pan-gon dapat mengekalkan momentum pemain-pemain serta cara berfikir mereka yang lebih positif, ia akan dapat membantu meningkatkan keinginan pemain untuk bergerak yang lebih segera untuk mencipta permainan yang lebih bernafsu.