Sekali lagi, Manchester City telah memilih momen terbaiknya untuk membuat ‘ledakan’ penghujung musim yang membenam pencabar terdekatnya bagi menggapai kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dalam beberapa tahun kebelakangan, Liverpool yang menjadi ‘korban’ kepada rentetan kemenangan City menghampiri garis penamat, dan kali ini giliran Arsenal pula yang lemas dalam arus cabaran juara bertahan itu.

Kejuaraan EPL ketiga berturut-turut, yang kelima dalam enam musim dan yang ketujuh dalam 12 tahun, disahkan mereka awal pagi tadi setelah Arsenal dikejutkan oleh kekalahan 0-1 kepada Nottingham Forest di tempat lawan.

Seperti disorot Associated Press, buat pengurus, Pep Guardiola, dan Manchester City, ia melambangkan tempoh penguasaan paling dominan oleh sebuah kelab dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Berkait penyerangnya pula, Erling Haaland, ia harus satu pertunjukan dalam musim sulungnya yang paling menggemparkan dalam sejarah EPL.

Didahului oleh dua golnya ke atas West Ham pada hujung minggu pembukaan, Haaland tidak syak lagi telah menakluki bola sepak Inggeris dengan cara paling memukau -- sejumlah 36 gol, empat hatrik, sepakan gunting akrobatik dan satu himpunan rekod jaringan, termasuk gol terbanyak dalam semusim.

Haaland harus mendapat lebih lagi jika tidak kerana Guardiola menariknya keluar lebih awal dalam beberapa perlawanan untuk merehatkannya.



Penyerang antarabangsa Norway itu telah menambah dimensi kepada corak serangan Guardiola – dia boleh berfungsi selaku pemain sasaran ketika City dalam penguasaan dan senjata dalam serangan balas apabila bola tiada di kaki mereka.

Guardiola, si pemikir dan pakar taktik, telah mengubahsuai formasinya musim ini daripada 4-3-3 kepada sistem 3-2-4-1 yang lebih inovatif, yang pada asasnya ialah untuk menyesuaikannya dengan Haaland.

Perubahan itu tiba pada pertengahan musim, dengan Guardiola memanfaatkan John Stones untuk peranan dalam sistem berkenaan. City tidak pernah tewas satu perlawanan pun sejak Stones memikul tugas itu pada lewat bulan Mac.



Peralihan taktikal itu juga menyaksikan pemain tengah, Ilkay Gundogan dan Kevin De Bruyne, bermain jauh di atas, mengatasi Stones dan Rodri, yang dilaksanakan dengan jaya.

Jack Grealish, yang memegang tanda harga pemain termahal dalam bola sepak Inggeris, agak mengecewakan dalam musim pertamanya bersama City tahun lalu.

Namun, dia jauh lebih baik dalam musim keduanya hingga dia dianggap pemain tonggak dalam menambah elemen kawalan dalam serangan City dan mencipta ruang buat rakan-rakan di barisan depan.

Dalam pada itu, kebolehan dan ketekalan Rodri sebagai pemain tengah bertahan, turut tidak boleh diperkecilkan.

Malah, dia telah sekali lagi membuktikan musim ini yang dia mungkin pemain terpenting City daripada cara dia melindungi pertahanan dan memulakan serangan.

Pergantungan kepada Rodri semakin meningkat, apatah lagi Kalvin Phillips yang tiba dari Leeds susulan perpindahan Fernandinho, dilihat masih berhempas-pulas.

Semua itu, bagaimanapun, adalah perkara sampingan pada waktu ini sambil City menghanyutkan diri seketika dalam kejayaan bergelar juara EPL sekali lagi.

Betapa ia mengujakan jika diambil kira Arsenal berkelebihan lima mata dengan satu perlawanan dalam tangan selepas kekalahan 0-1 City kepada Tottenham, 5 Februari lalu.

Namun, sejak itu, City telah memenangi 13 daripada 14 perlawanannya untuk menenggelami saingan Arsenal, yang barisan muda kurang berpengalamannya terpaksa mengakui hanya sebuah pasukan yang berhak beraja.

Selebihnya, bak kata orang, adalah sejarah.