Kisah jurulatih Malaysia, khususnya dari cabang badminton berkelana ke luar negara bukan baru, Jeremy Gan kini sedang menikmati kejayaan dengan skuad Jepun, Tan Kim Her pula dalam misi membentuk gandingan beregu campuran dan lelaki yang mantap di India, Choong Tan Fook pula menjadi antara tulang belakang kebangkitan pasangan campuran Hong Kong, Tan Chung Man/ Tse Ying Suet.

Sekurang-kurangnya itu yang boleh dibanggakan untuk peminat tempatan melepas rindu melihat anak watan berjaya dalam sukan badminton, untuk mengharapkan pencapaian atlet kebangsaan sendiri, masih tidak kunjung tiba.

Terbaru, Kim Hock memilih untuk menjadi jurulatih di Singapura. Dia mengikat kontrak dua tahun bersama Sekolah Sukan Singapura sejak Ogos lalu, dan tanggungjawabnya adalah untuk melahirkan juara bagi kesemua kategori membabitkan – perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki, wanita dan juga campuran di peringkat remaja.

Kim Hock punya pengalaman yang luas baik sebagai pemain, dan juga jurulatih. Pemenang pingat perak sukan Olimpik Atlanta 1996 ini pernah berkhidmat sebagai jurulatih beregu lelaki negara dari 2004 sehingga 2008. Dia kemudiannya ditugaskan membimbing pemain muda selama 4 tahun di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Sepanjang tempoh Kim Hock berkhidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dia berjaya menghasilkan tiga juara remaja dunia, antaranya Chooi Kah Ming/ Ow Yao Han (2009), Ow Yao Han/ Yew Hong Kheng (2010), dan Nelseon Heq Wei tat/ Teo Ee Yi (2011).

Sejurus dia diberhentikan, Kim Hock teruskan usahanya mencari bakat baru dengan menubuhkan akademi badmintonnya sendiri, iaitu Akadami YKH di Pandamaran, Klang sempena namanya.

Kejayaan bekas pemain negara disunting negara luar membuktikan Malaysia sebenarnya masih punyai aura dalam sukan badminton, namun aura itu semakin malap jika ia tidak dapat diterjemahkan dengan kejuaraan oleh barisan pemain sedia ada.