Sejak hampir dua dekad lalu, kita telah menyaksikan bagaimana kelab-kelab yang terdahulunya sekadar pasukan biasa, bangkit menjadi kuasa besar dalam dunia bola sepak atas bantuan suntikan dana besar pemilik yang kaya, dengan nama-nama seperti Chelsea, Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG) sebagai contoh.

Namun, kita juga mempelajari yang wang semata-mata tidak menjanjikan kejayaan. Jika tidak, sudah pasti PSG yang memiliki khidmat Kylian Mbappe, Neymar dan Lionel Messi dalam satu pasukan menjadi juara tidak terkalah saban tahun.

Apa yang penting bukanlah jumlah wang yang ada tetapi bagaimana ia dibelanjakan.

Contoh terbaik untuk situasi ini semestinya Liverpool -- dipimpin oleh Jurgen Klopp, pengurus mereka yang bijak dan memiliki wawasan mantap.



Dalam temu bual The Guardian semalam, Klopp mendedahkan bahawa Liverpool telah mengenal pasti bakat pemain yang baru mereka beli daripada PSV Eindhoven, Cody Gakpo, sejak awal lagi dan membuat keputusan untuk menyambarnya secepat mungkin sebelum harga pemain itu menjulang naik pada masa akan datang.

Yuran perpindahan yang dipersetujui adalah €40 juta (RM188 juta), satu nilai yang cukup berbaloi buat pemain muda berusia 23 tahun dan berpotensi besar untuk menjadi bintang luar biasa pada masa akan datang.

Sebagai perbandingan, jika dilihat kepada Phil Foden, bintang Manchester City yang berusia setahun lebih muda ketika ini dianggarkan mempunyai harga pasaran sekitar €93.7 juta (RM440 juta).

"Jika kami menunggu sehingga Gakpo menyumbat 40 gol pada masa akan datang, harganya pasti tidak mampu kami penuhi.

"Perkara sebegini bergantung sepenuhnya kepada tindakan pada masa yang bersesuaian, untuk mendapatkan mereka pada masa yang tepat," ujar Klopp.

Ada juga pihak yang bersuara mengatakan Liverpool sudah memiliki terlalu ramai penyerang, antaranya Mohamed Salah, Roberto Firmino, Diogo Jota, Luis Diaz dan pembelian awal musim lalu, Darwin Nunez, jadi bukankah lebih wajar wang itu dibelanjakan terhadap pemain di posisi lain?

Kata-kata itu ada benarnya, namun harus diperhatikan bahawa Gakpo memiliki kebolehan untuk beraksi di bahagian sayap serta bahagian penyerang tengah juga. Ini bermaksud dia mampu untuk menggalas tugas yang disandang oleh kesemua penyerang lain tanpa sebarang masalah.



Ketika ini, Diaz dan Jota mengalami kecederaan jangka panjang, maka kehadiran Gakpo sememangnya tepat pada masanya.

Daripada segi statistik, Gakpo telah menjaringkan 9 gol dalam liga Eredivisie musim ini, serta tiga kali dalam Liga Eropah, tidak lupa juga tiga jaringan berturut-turut di peringkat kumpulan bersama Belanda dalam Piala Dunia Qatar.

Meskipun kualiti serta standard Eredivisie tidak boleh disamakan dengan Liga Perdana Inggeris, hakikatnya Gakpo telah menjaringkan lebih banyak gol daripada setiap penyerang Liverpool yang lain.

Selain menyumbat gol, Gakpo turut mencatatkan sebanyak 17 bantuan jaringan musim ini, jauh mengatasi Salah yang mencatatkan enam kali bantuan.

Bantuan-bantuan jaringan ini hadir daripada larian kencangnya di sayap kiri, diikuti hantaran silang yang tajam serta kecekapan dalam melakukan sepakan sudut.

Siapa tahu, Gakpo mungkin memulihkan semula ketajaman Liverpool yang hilang sepeninggalan Sadio Mane ke Bayern Munich musim ini.

Hanya masa bakal membuktikan bagaimana impak Gakpo terhadap kelab barunya tetapi berdasarkan statistik dan maklumat setakat ini, kemungkinan besar pembelian ini bakal menjadi satu keputusan yang teramat bijak di pihak Liverpool.