Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pimpinan Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah tampak sudah mula mengorak langkah kedepan dengan penganjuran Hari Bola Sepak Selangor pada 16 Disember lalu di Stadium Shah Alam.

Pada hari yang sama juga, FAS melancarkan jersi ketiga Selangor untuk musim 2019 dengan harga yang amat berpatutan buat penyokong mereka.

FAS turut menganjurkan beberapa aktiviti lain seperti saingan akhir Selangor Champions League yang merupakan antara saingan amatur utama di lembah klang kini selain sesi beramah mesra dengan barisan pemain dan jurulatih Selangor musim 2019.

Meskipun FAS sebelum ini turut dilanda kontroversi dengan kumpulan 52 kelab gabungan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) tanpa restu Tengku Amir untuk memilih pucuk pimpinan baru, persatuan itu tidak menjadikannya halangan untuk melakukan perubahan.

FAS kemudian sudah pun mengeluarkan 43 kelab ahli gabungan yang tidak menyokong perubahan dan aspirasi sama dengan pucuk pimpinan bawah Tengku Amir.

Ia tampak tindakan drastik, namun penulis percaya ia wajar dilakukan FAS untuk melaksanakan pembaharuan dan demi kemajuan bola sepak negeri Selangor itu sendiri.

Hari Bola Sepak Selangor umpanya adalah antara pembaharuan yang dilaksanakan FAS dan penulis menjangka, ia akan menjadi acara tahunan selepas ini.

Jika dilihat kepada skuad utama Selangor, barisan kendalian B Satianathan untuk musim 2019 mempunyai gabungan tenaga muda dan berpengalaman.

Penyerang import, Rufino Segovia kini sah kekal dengan Selangor dan penulis percaya pemain Sepanyol itu akan terus cemerlang musim 2019 ini.

Ia kerana Satianathan membawa masuk pemain sayap berkualiti seperti Nuridzuan Abu Hassan dan Wan Zack Haikal Wan Noor yang pasti berupaya melakukan umpanan buat Segovia.

Satianathan kini hanya perlu memastikan, empat lagi awang import yang dibawa masuk mampu menambah keampuhan pasukan.

Daripada segi pengurusan, penulis dapat melihat sekretariat FAS di bawah Dr Johan Kamal Hamidon kini tampak bergerak aktif dalam memperkasakan persatuan itu.

Johan turut dibantu Exco FAS seperti Izhar Moslem serta Datuk Rauf Ahmad, Nazzab Hidzan (bekas pemain) dan lain-lain yang melaksanakan perubahan yang dicanang Tengku Amir.

Penulis percaya FAS di landasan tepat dan penulis percaya, sebahagian besar peminat setia Selangor juga di belakang Tengku Amir dan bukannya dengan kumpulan 52 kelab gabungan yang tidak sealiran dengan baginda.