Tiga bulan selepas digugurkan skuad kebangsaan, timbul cerita penyerang sensasi negara, Faizal Saari berhasrat kembali ke pangkuan The Malaysian Hockey Tigers.

Ia hadir selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengumumkan format baru kelayakan Piala Dunia 2023 yang mencerahkan peluang Malaysia layak buat kali ketiga berturut-turut.

Format baru ialah tiga pasukan terbaik Piala Asia 2021 akan layak (termasuk tuan rumah, India) berbanding hanya juara sebelum ini.

Pasukan gagal perlu melalui pusingan kelayakan.

Bagi mencapai misi itu peminat mula tertanya-tanya, adakah Faizal dan adiknya, Fitri Saari (pemain tengah) perlu dipanggil semula sebaik skuad negara menyambung semula sesi latihan?

"Saya mahu kembali. Saya yakin dapat bantu Malaysia layak ke Piala Dunia 2023," kata Faizal.

"Dia masih lagi penyerang terbaik Malaysia. Tetapi saya tidak tahu kenapa dia tiada dalam pasukan".

"Jika ada masalah lain ia patut diselesaikan kerana dalam hal ini Faizal perlukan pasukan dan Malaysia akan rugi hilang pemain sepertinya," kata bekas kapten negara, Nor Saiful Zaini.

Liga Hoki Malaysia 2020.

Faizal muncul penjaring kedua terbanyak dengan 14 gol, ketinggalan sembilan gol dibelakang pakar pukulan sudut penalti Terengganu Hockey Team, Jang Jong Hyun (pemain import Korea Selatan).

Daripada 14 gol, dia menjaringkan 12 gol padang - yang terbanyak dikalangan pemain negara.

Jadi, mengapa dia digugurkan?

Ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans enggan mendedahkan punca. Tetapi mesti ada sebab tertentu!

Malah Oltmans, pengendali kelahiran Belanda kekal dengan pendirian enggan memanggil semula Faizal dan Fitri jika skuad negara dibenarkan kembali berlatih.

Percayalah, kita perlukan semua pemain terbaik di negara ini untuk menghadapi Piala Asia, tahun depan.

Jika tiada sebab, mengapa mereka tidak boleh menyertai pasukan?

Faizal dan Fitri tidak bagus ke?