Fadhil Zonis mencipta sejarah selaku pelumba trek pertama negara merampas ranking nombor satu dunia dalam acara 1 kilometer ujian masa.

Kejayaan itu hadir selepas pemegang rekod kebangsaan itu meraih pingat perak acara berkenaan dalam Kejohanan Piala Negara-Negara di Hong Kong hujung minggu lalu.

Mengulas mengenai kejayaan terbarunya itu, Fadhil berkata kepada Nadi Arena: "Ia amat bermakna terutama sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini, saya berlatih keras sepanjang keadaan sukar ini, jadi kejayaan ini amat bermakna buat saya dan pasukan saya."

Antara pelumba trek negara yang sering menduduki ranking pertama dunia adalah Azizulhasni Awang. Fadhil, bagaimanapun, menganggap jurangnya dengan juara dunia itu masih terlalu jauh untuk dibandingkan.

"Masih jauh lagi untuk saya setaraf dengannya kerana kita semua tahu apa yang telah dicapainya.

"Tetapi apa saya miliki ketika ini juga atas usahanya. Dengan segala bantuan dan nasihat yang diberikannya, saya sampai ke tahap ini.

"Tetapi perjalanan saya masih jauh," katanya lagi.