Buat julung-julung kalinya dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL), penentuan kejuaraan, tempat ke Liga Juara-Juara, Liga Europa dan penurunan divisyen kesemuanya diputuskan pada hari terakhir musim sekali gus.

Ia sekadar membuatkan kemuncak saingan hari ini teristimewa – lapan daripada 10 perlawanannya bakal menentukan sesuatu tanpa mengurangi peri pentingnya walau satu pun ke atas yang lain-lain.

EPL tidak pernah menyaksikan penentuan detik penghujung seperti ini hinggakan kebangkitan Everton mengatasi Crystal Palace, Khamis lalu, untuk mengekalkan tempatnya di saingan tertinggi semusim lagi, sekadar menambah perisa kepada apa yang bakal tersaji.

Hari ini akan menjadi kali kesembilan perebutan kejuaraan diputuskan pada hari penghujung musim – dengan dua yang terakhir turut membabitkan Manchester City dan Liverpool.

Semua jari tertuding kepada The Citizens untuk ditabalkan juara buat kali keempat dalam lima musim terakhir – menepati resmi pasukan di tangga teratas sebelum sepak mula hari terakhir sepanjang lapan musim yang terakhir ini tidak pernah gagal menjulang trofi.

Laman premierleague.com, bagaimanapun, menyorot dua situasi hampir serupa yang secara tidak langsung mengangkat kebarangkalian City sebagai juara tidak lebih satu formaliti di sebalik Liverpool menyandarkan harapan kepada tuah kali ketiga.


Kemuncak musim 2013/14:

Menuju ke hari terakhir musim, City menang empat perlawanan berturut-turut untuk dua mata mengatasi Liverpool, yang tergelincir dari singgahsana disebabkan kekalahan kepada Chelsea dan seri dengan Crystal Palace.

Skuad kendalian Manuel Pellegrini itu menjadi tuan rumah kepada West Ham sambil The Reds melayan kunjungan Newcastle United.

Pada waktu Martin Skrtel terjaring gol sendiri untuk Liverpool ketinggalan, City pula mendahului selesa di Etihad hasil jaringan Samir Nasri dan Vincent Kompany.

Walaupun Daniel Agger dan Daniel Sturridge menjamin kemenangan Liverpool kendalian Brendan Rodgers, City tidak mampu terhalang untuk memastikan ditabal juara hasil kemenangan 2-0.

Kemuncak musim 2018/19:

Menuju ke hari terakhir musim, City telah memenangi 13 perlawanan berturut-turut sambil Liverpool meraih mata maksimum dalam lapan perlawanan terakhirnya.

Berkelebihan hanya satu mata, City sedar satu lagi kemenangan akan mengesahkannya kejuaraan dalam kunjungannya ke Brighton pada ketika Liverpool menerima kunjungan Wolves ke Anfield.

Anehnya, Man City ketinggalan kepada gol Glenn Murray hanya untuk Sergio Aguero mengikat kedudukan dan kemudian terserah kepada Riyad Mahrez dan Ilkay Gundogan menyudahkan kemenangan 4-1.

Liverpool menyudahi cabarannya dengan menundukkan Wolves 2-0, kedua-duanya jaringan Sadio Mane, tapi dikerah berpuas hati sekadar di tangga kedua di sebalik menghimpun 97 mata.


Menjelang sepak mula malam ini, Pep Guardiola berpesan kepada barisan The Citizens agar menganggap Aston Villa tidak pun berbeza dengan lawan lain yang sudah mereka tundukkan.

“Ia hanyalah satu perlawanan bola sepak, jangan fokus kepada sebarang perkara lain.

“Cemas, gemuruh? Tidak sama sekali. Jika kami bolos atau berhempas-pulas, cuba lagi, ayuh lakukannya,” katanya seperti dipetik Manchester Evening News.

Jurgen Klopp pula seakan-akan pasrah.

Dengan Piala Carabao dan Piala FA dalam kabinet trofi di Anfield, dia menyimpulkan ia musim yang cemerlang buat Liverpool sekalipun jika ditakdirkan tidak memiliki trofi EPL dan Liga Juara-Juara.

Sebaliknya, jika tiga atau empat trofi sekali gus milik mereka, ia akan terpahat sebagai musim yang tiada tolok bandingnya.